PETALING JAYA: Misi hidup mati Harimau Malaya kini terletak di tangan pemain negara ketika menentang Bahrain hari ini dalam misi menghidupkan semula laluan ke Pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023.
Biarpun sedar pasukan lawan berada di kedudukan ranking yang jauh lebih baik di kedudukan ke-86 dunia, itu bukan penghalang untuk anak-anak buah Kim Pan Gon melakar kejutan pada edisi kali ini.
Bermula dengan langkah kiri dalam kempen di Doha apabila tewas 0-4 kepada Jordan, Harimau Malaya pastinya ada misi yang tersendiri untuk menebus maruah Malaysia dan impian itu diharapkan mampu direalisasikan pemain.
Bagi memastikan impian itu tercapai, penyerang kebangsaan, Darren Lok berazam untuk sedaya upaya merobek gawang Bahrain sekiranya dia diberikan kepercayaan mengemudi jentera serangan negara.
“Sudah tentu saya sentiasa mahu menjaringkan gol serta melakukan yang terbaik untuk Malaysia itu. Itulah tugas saya untuk menjaringkan gol, jadi saya akan pergi dan memberikan persembahan terbaik saya.
“Kami tahu ia bukan perlawanan yang mudah. Bahrain adalah lawan yang kuat, kedudukan setara dengan Jordan. Jadi, kami perlu membetulkan perkara yang salah ketika menentang Jordan dan memberikan prestasi yang lebih baik kepada penyokong.
“Kami harus percaya pada diri kerana sudah beberapa kali menentang Bahrain termasuk ketika kelayakan Piala Asia dan menjaringkan satu gol. Kami harus percaya pada diri sendiri dan yakin boleh mencatatkan keputusan positif,” katanya.
Untuk rekod, Indra Putra Mahayuddin muncul pemain terakhir negara yang menjaringkan gol di Piala Asia semasa edisi 2007 ketika bergelar tuan rumah bersama.
Mengulas lanjut, tonggak utama Sabah FC itu tidak pasti adakah corak permainan sama bakal diterapkan Kim Pan Gon menjelang pertemuan dengan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad.
“Itu terpulang kepada jurulatih dan dengan taktik yang diputuskan. Tetapi sebagai pemain, kita semua tahu peranan kita secara individu dan apa yang perlu kita lakukan. Jadi ia adalah tentang mengikut apa yang jurulatih mahu kita lakukan.
“Sudah tentu setiap kali anda pergi ke sana dan mewakili negara anda, anda perlu memberi 100 peratus. Inilah bola sepak. Kadang-kadang ia menjadi dan kadang-kadang bertukar malang, tidak berjalan seperti yang dirancang, tetapi kami bekerja keras,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia merupakan satu-satunya negara dari rantau Asia Tenggara yang belum menjaringkan sebarang gol selepas dibelasah Jordan dalam perlawanan pembukaan pada 16 Januari lalu. – UTUSAN