Kemenangan ke atas Syria mampu suntik motivasi buat Harimau

Kemenangan ke atas Syria mampu suntik motivasi buat Harimau Malaya

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan menjelang aksi persahabatn menentang Syria malam ini sebagai persiapan sebelum bermula saingan Piala Asia 2023.-Ihsan FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan Harimau Malaya dengan Syria dalam aksi persahabatan malam ini bakal menguji sejauh mana skuad kendalian Kim Pan Gon itu bersedia untuk mengharungi cabaran di Piala Asia 2023.

Pertemuan dengan pasukan di ranking ke-91 dunia itu juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Pan Gon untuk menilai pemain yang boleh membawa cabaran Harimau Malaya untuk bersaing dengan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Aksi terakhir antara kedua-dua pasukan di Chengdu, China pada September tahun lalu, berakhir dengan keputusan seri 2-2 membuktikan masing-masing memiliki kekuatan tersendiri untuk digunakan di pentas Piala Asia 2023.

Bekas pemain kebangsaan, Rudie Ramli berkata kebiasaannya apabila perlawanan persahabatan diadakan menjelang aksi sebenarnya kebanyakkan jurulatih akan menurunkan barisan terbaik bagi memastikan kefahaman dapat dibentuk.

Tegasnya, perkara itu penting untuk mendapat suasana perlawanan kepada pemain supaya tidak ‘terkejut’ apabila beraksi pada aksi sebenar meskipun semua pemain telah memiliki pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

“Tidak kira pasukan Malaysia atau pasukan lain, kebanyakkan telah memiliki kesebelasan utama dan ia akan diuji pada perlawanan persahabatan. Jika tidak semua pasti daripada 11 pemain hampir 90 peratus adalah pemain utama.

“Minit perlawanan sememangnya penting buat mana-mana pemain kerana ia akan membantu pemain cepat menyesuaikan diri dalam padang, selain memastikan prestasi berada di tahap optimum.

“Keputusan menentang Syria boleh dikatakan penting kerana jika kita mendapat keputusan positif, tentu ia akan menyuntik motivasi lebih tinggi kepada pemain apabila turun menentang Jordan pada perlawanan pertama Kumpulan E Piala Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Aksi pemanas badan berdepan pasukan yang berada di kedudukan ranking lebih baik itu adalah sebagai ujian untuk pasukan mempersiapkan diri sebelum mengharungi perlawanan pertama Piala Asia 2023 menentang Jordan, 16 Januari ini.

Tambah Rudie, berkata pertemuan menentang Syria juga boleh dijadikan ‘bayangan’ Jordan dan Bahrain yang memiliki kelebihan pemain dari segi fizikal.

“Jika saiz fizikal tidak dinafikan Jordan, Bahrain ataupun Korea Selatan ada kelebihan tetapi pemain-pemain kita juga ada fizikal yang baik.

“Paling penting adalah semangat serta komitmen kena bagi lebih dari 100 peratus oleh semua pemain untuk dapatkan keputusan positif,” katanya.

Skuad negara akan memulakan langkah bertemu Jordan dalam aksi pertama kempen Piala Asia 2023 pada 16 Januari sebelum bertemu Bahrain (22 Januari) dan menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir saingan peringkat kumpulan pada 28 Januari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya