PETALING JAYA: Terlalu banyak membazir deretan peluang menjaringkan gol akhirnya menghukum skuad hoki kebangsaan apabila Malaysia gagal mencari tempat ke Olimpik.
Kali terakhir Malaysia layak ke temasya terbesar dunia itu pada edisi 2000 di Sydney dan aksi kelayakan kali ini menyaksikan hanya tiga pasukan terbaik layak beraksi di Paris, Julai ini.
Pengendali skuad Speedy Tigers, Arul Selvaraj mengakui kecewa selepas anak-anak buahnya membazirkan banyak peluang untuk menjaringkan gol ketika seri 3-3 dengan Pakistan, semalam.
Keputusan seri dalam aksi terakhir Kumpulan A itu menyaksikan peluang skuad negara berkubur sekali gus menyebabkan kemarau ke temasya Olimpik berterusan.
Lebih mengecewakan, skuad kendalian Arul juga menamatkan saingan Kumpulan A di tangga tercorot selepas sekadar mengutip satu mata dalam tiga perlawanan selepas tewas kepada China 2-3 dan tumpas kepada Great Britain 1-4.
Dalam satu lagi aksi kumpulan yang sama, Great Britain terus melangkah bergaya selepas membelasah China 6-0 semalam.
“Kecewa, kita kawal permainan dengan banyak. Peluang untuk jaringkan gol banyak, tetapi tidak dapat nak dilaksanakan oleh pemain. terlalu banyak peluang untuk jaringkan gol ketika lawan China dan Pakistan.
“Kalau peluang sedemikian tidak dapat jaringkan gol, maka, memang susah untuk skuad negara menang dalam perlawanan. Sekarang kita kena habiskan dua lagi perlawanan (klasifikasi lima hingga lapan),” kata Arul.
Ditanya tentang perancangan pasukan termasuk dirinya dalam skuad kebangsaan, Arul berkata, tugasnya bersama skuad kebangsaan di Kelayakan Sukan Olimpik di Muscat, Oman masih belum selesai.
“Saya, akan balik ke Malaysia dan berbincang dengan Datuk Seri (Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal) dan Datuk Najmi (Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak),” katanya.
Malaysia akan meneruskan perjuangan bertemu Chile bagi perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan hari ini dan penamat terbaik pastinya boleh mengubat luka skuad Speedy Tigers. – UTUSAN