VALENCIA: Skuad hoki wanita negara bermula dengan langkah kiri apabila dibelasah 7-0 di tangan tuan rumah, Sepanyol dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung di Estadio Betero, Valencia sebentar tadi.
Biarpun anak buah Nasihin Nubli Ibrahim berjaya mengekang asakan Sepanyol pada suku pertama permainan, namun gawang negara bocor jua pada minit ke 30 menerusi Patricia Alvarez.
Belen Iglesia terus menambah derita Malaysia tujuh minit kemudian sebaik suku ketiga bermula menerusi gol padang.
Skuad negara terus diseksa untuk tempoh 20 minit seterusnya bermula dengan jaringan Maria Lopez yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke 40.
Disusuli dengan jaringan kedua Iglesias pada minit ke 52.
Alvarez hanya memerlukan dua minit sahaja iaitu pada minit ke 56 dan 57 untuk melengkapkan hatriknya sebelum Beatriz Perez menamatkan igauan ngeri Malaysia dengan jaringan ketujuh perlawanan pada minit ke 60.
“Pasukan Sepanyol adalah pasukan tuan rumah, yang juga pasukan di tangga kelapan terbaik dunia. Untuk pemain-pemain ini, kebanyakkan pemain muda, bertemu dengan pasukan Eropah buat kali pertama dalam hidup mereka, bukannya perkara mudah.
“Saya terpaksa berterima kasih kepada para pemain apabila mereka begitu baik di suku pertama dengan tidak membenarkan Sepanyol menjaringkan gol.
“Apabila lawan hanya menjaringkan satu gol sahaja pada babak pertama, sudah tentunya mereka ingin menunjukkan bahawa mereka berhak berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia, jadi kesilapan kecil telah menjurus kepada gol kepada babak kedua,” jelas Nasihin.
Malaysia akan meneruskan kempen mereka di Valencia dengan menentang Kanada esok.