KOTA BHARU: Pihak pengurusan Kelantan United FC bersedia menyelesaikan isu tunggakan gaji pegawai, barisan kejurulatihan dan pemain bagi musim lalu secara keseluruhan pada akhir bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Mohd. Zul Ikman Wan Abdul Aziz menegaskan, isu tunggakan gaji yang menyelubungi kelab itu sejak Ogos tahun lalu telah diselesaikan dengan pendekatan memang-menang antara semua pihak terlibat.
Menurutnya, sebelum ini pihak pengurusan kelab yang dikenali dengan julukan Sang Kijang Hijau itu telah mengeluarkan satu memorandum berkenaan jadual pembayaran gaji dan telah dipersetujui oleh semua pihak terlibat.
“Kelantan United sentiasa komited untuk melangsaikan segala hutang serta tunggakan gaji dan telah memulakan proses bayaran sejak pertengahan bulan lalu, iaitu sebelum perlawanan terakhir Liga Super 2023.
“Ia merupakan bayaran bagi separuh gaji bulan Ogos dan sehari selepas perlawanan penutup Liga Super, pihak kelab telah membuat pembayaran gaji untuk bulan September kepada semua pegawai, jurulatih dan pemain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau menjelaskan, mengikut persetujuan penjadualan pembayaran, baki gaji untuk bulan Ogos 2023 sepatutnya diselesaikan pada penghujung bulan lalu tetapi tertangguh disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun pihak kelab tidak berdiam diri atau mengambil sikap lepas tangan dan telah menghubungi pemain serta pegawai terlibat untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Oleh kerana beberapa pemain serta pegawai sangat memerlukan baki tunggakan itu, pihak kelab telah membuat bayaran segera kepada mereka dan bagi yang belum menerimanya, akan diselesaikan hari ini.
“Mengikut penjadualan pembayaran yang dipersetujui juga, tunggakan gaji untuk Oktober, November serta Disember 2023 akan diselesaikan pada 15 Januari dan 31 Januari nanti. Ia adalah pembayaran terakhir bagi semua tunggakan gaji untuk musim lalu,” katanya.
Wan Mohd. Zul Ikman memberitahu, penjadualan pembayaran tunggakan gaji berkenaan turut dimaklumkan kepada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Pihak kelab berharap penyelesaian isu-isu yang melanda Kelantan United ini akan membuka lembaran baharu antara semua pihak dan marilah kita berlapang dada agar perjuangan menuju musim baharu nanti dapat diteruskan dengan jayanya,” ujarnya. – UTUSAN