'Jodoh' Hafiz dengan Sindhu tak lama

‘Jodoh’ Hafiz dengan Sindhu tak lama

Muhammad Hafiz Hashim akur apabila 'jodohnya' bersama Pusarla Sindhu hanya bertahan selama enam bulan sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim akur apabila ‘jodohnya’ bersama ratu badminton India, Pusarla Sindhu hanya bertahan selama enam bulan sahaja sebelum Sindhu bertindak melantik jurulatih baharu, Agus Dwi Santoso.

Sindhu menjelaskan, sejak dia dibimbing Hafiz pada Julai, dia tidak merasai banyak peningkatan, justeru bertindak menamatkan kerjasama dengan Hafiz pada Disember lepas.

Sebaliknya, Hafiz yang dihubungi Utusan Malaysia menyangkal perkara tersebut dan mendedahkan antara punca utama mereka tidak dapat meneruskan kerjasama ini adalah berkaitan isu lojistik.

“Pada awal dahulu, dia bertandang berlatih di kelab badminton Suchitra dan tidak berapa lama kemudian, dia sendiri yang meminta saya untuk melatihnya bagi persiapan ke Sukan Olimpik Paris. Dari situ, saya sempat mengikutinya untuk beberapa kejohanan antarabangsa.

“Tetapi jarak perjalanan menjadi isu utama kerana antara rumahnya ke tempat latihan Suchitra adalah lebih kurang satu jam. Saya pernah ke tempatnya iaitu di Gachibowli, tetapi sukarnya juga untuk saya berulang alik setiap hari, tidak termasuk jika jalan sesak, apatah lagi saya masih ada kontrak bersama kelab Suchitra.

“Saya dan Sindhu sebenarnya tiada apa kontrak, cumalah hanya cakap mulut. Jadi sebenarnya saya juga boleh menjangkakan bila-bila masa sahaja dia boleh membuat sebarang keputusan, dia boleh pilih sesiapa sahaja untuk jadi jurulatihnya.

“Saya anggap rezeki saya melatih Sindhu sampai setakat itu sahaja. Mungkin dia mahukan keputusan positif yang lebih cepat. Tetapi di bawah saya, dia masih mampu mara ke separuh akhir Terbuka Finland dan Denmark,” kata Hafiz.

Biarpun dia tidak lagi melatih Sindhu, Hafiz masih mempunyai komitmen dengan Suchitra sehingga 2026 dan melatih beberapa pemain badminton kebangsaan India yang bernaung dengan kelab itu antaranya Malvika Bansod.

“Kini saya fokus dengan tugas saya melatih pemain di Suchitra. Biarpun mereka tidaklah sehebat Sindhu, tetapi mereka tetap menyertai kejohanan-kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa dan Siri Antarabangsa,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya