LONDON: Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi terkejut apabila pemain sayapnya, Kaoru Mitoma tetap dipanggil untuk menyertai Jepun ke Piala Asia 2023 biarpun mengalami kecederaan buku lali.
De Zerbi berkata, susulan kecederaan itu Mitoma sepatutnya berehat untuk tempoh beberapa minggu dan tindakan pengendali Jepun, Hajime Moriyasu memanggil pemain berumur 26 tahun diragui.
Moriyasu menamakan Mitoma dalam skuad terakhirnya ke Piala Asia di Qatar dengan kejohanan sebenua itu berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari ini.
Mitoma tidak bermain buat Brighton sejak terhincut-hincut ketika seri 1-1 dengan Crystal Palace pada 21 Disember lalu dan De Zerbi tidak pasti sama ada pemain itu boleh pulih untuk bermain di Qatar.
“Saya benar-benar terkejut kerana staf perubatan saya memberitahu Mitoma perlukan empat, enam minggu bagi memulihkan kecederaannya.
“Bagi saya, sukar untuk memikirkan dia boleh beraksi pada Piala Asia. Tetapi saya peminat Mitoma, semua pemain saya, jadi jika mereka boleh beraksi buat pasukan kebangsaan masing-masing saya amat gembira dan bangga,” kata De Zerbi.
Jepun menyasarkan untuk menjuarai Piala Asia dengan melebarkan rekod kali kelima sesudah menjulang kejuaraan pada tahun 1992, 2000, 2004 dan 2011.
Mereka akan memulakan kempen pada 14 Januari ini menentang Vietnam, sebelum berdepan Iraq dan Indonesia dalam Kumpulan D. – AGENSI/UTUSAN