Harimau Malaya bebas kecederaan

Harimau Malaya bebas kecederaan

ARIFF Aiman melakukan percubaan di depan gawang Syria dalam aksi persahabatan yang berkesudahan dengan seri 2-2 di Doha, Qatar, semalam. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada pemain cedera selepas perlawanan persahabatan menentang Syria, nyata memberi kelegaan kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Keputusan positif mengikat pasukan di ranking 91 dunia itu, membuktikan Malaysia yang berada dikedudukan 130 sudah bersedia mengharungi kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

Pan Gon juga menegaskan semua 26 pemain telah memperagakan persembahan memberangsangkan ketika mengikat Syria 2-2 di Stadium Grand Hamad, Doha, Qatar semalam sekali gus membuat barisan kejurulatihan ‘sukar’ untuk memilih kesebelasan terbaik.

Situasi berkenaan adalah satu perkembangan yang positif dan ia memudahkan Pan Gon untuk menyusun taktikal bagi aksi pertama berdepan Jordan pada 16 Januari bagi memburu mata pertama.

“Ada tempoh seminggu lagi, jadi kita akan buat proses pemulihan dan persiapan dari segi taktikal dengan sebaik mungkin untuk aksi pertama nanti. Ada masa yang cukup untuk membuat persediaan awal.

“Tiada kecederaan dan petanda positif adalah semua pemain bersaing dengan baik, jadi sesiapa sahaja boleh membarisi kesebelasan utama.

“Kita akan menilai dan menganalisis perlawanan ini sebelum barisan kejurulatihan memutuskan senarai kesebelasan utama bagi perlawanan pertama nanti,” kata Pan Gon.

Terdahulu, pada perlawanan itu gol skuad kebangsaan dijaringkan Arif Aiman Hanapi dan  Paulo Josue manakala jaringan Syria disumbangkan oleh Pablo Sabbag serta Ibrahim Hesar.

Dalam perkembangan sama, pengendali dari Korea Selatan itu tetap berpuas hati dengan prestasi semua pemain walaupun ini merupakan perlawanan pertama selepas hampir sebulan berlatih.

“Ini perlawanan pertama skuad kebangsaan selepas berlatih hampir sebulan, jadi ini satu perkara yang baik. Kita perlu yakinkan barisan kejurulatihan bahawa program ini menuju ke landasan yang tepat.

“Perlawanan ini menambahkan lagi keyakinan dan ‘match fitness’ sekali gus memberikan manfaat yang baik untuk persiapan kita di sini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya