PETALING JAYA: Kem badminton negara boleh menarik nafas lega apabila pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong telah mula kembali ke gelanggang menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Situasi ini memberikan petanda positif dia mungkin akan disenaraikan untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan berlangsung 13 hingga 18 Februari ini di Setia Alam, Selangor.
Keadaan Tze Yong mencetuskan kerisauan kem negara apabila dia mengalami kecederaan belakang ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia awal bulan ini, sehingga terpaksa menarik diri daripada tiga lagi kejohanan selepas itu seperti Terbuka India, Masters Indonesia dan Masters Thailand.
Begitupun, Tze Yong mengakui keadaannya ketika ini adalah jauh lebih baik daripada dua minggu lalu, namun masih mengambil langkah berjaga-jaga agar kecederaannya tidak menjadi lebih serius.
“Saya tak berlatih secara penuh lagi. Jadi belum merasainya lagi dan tak tahu sama ada sembuh sepenuhnya lagi ataupun tidak. Minggu lalu, saya hanya menjalani latihan skil ringan sahaja dan sejak semalam, ada sedikit perbezaan,
“Tadi ketika berlatih, saya tak rasa sakit kerana mengikuti program latihan sudah ditetapkan,” jelas Tze Yong.
Setakat ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum mengumumkan senarai pemain yang akan menggalas cabaran negara di kejohanan itu.
Hanya nama pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia sahaja yang diketahui setelah bekas jaguh Asia mengesahkan menerima tawaran daripada BAM untuk mewakili negara.
Kejohanan ini juga medan kelayakan untuk pasukan dari benua Asia layak ke Piala Thomas/Uber yang akan berlangsung di Chengdu, China pada Mei depan.
Skuad berpasukan lelaki negara merupakan penyandang juara kejohanan ini pada edisi 2022 setelah menumpaskan Indonesia 3-0 di pentas final. – UTUSAN