PETALING JAYA: Entah di mana silapnya, perjalanan dua wakil perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 sekali lagi berakhir antiklimaks apabila kecundang awal.
Terbuka Malaysia terus menjadi badi malang buat Zii Jia apabila buat kali kedua berturut-turut, dia tewas di pusingan pertama dengan tahun ini menjadi mangsa kepada pemain China Lu Guang Zu dengan keputusan 21-16, 19-21, 15-21.
Rakan senegara, Tze Yong pula menerima nasib malang untuk kejohanan pertamanya tahun ini apabila mengalami kecederaan belakang ketika berdepan pemain Jepun, Koki Watanabe semalam.
Jika sebelum ini angin menjadi sebagai penghalang kebanyakan pemain untuk mereka tampil lebih agresif dalam gelanggang, namun kali ini mereka juga buntu dengan keadaan yang menimpa.
Berakhirnya perjalanan Zii Jia dan Tze Yong turut menandakan kemarau untuk pemain perseorangan lelaki negara merangkul gelaran Terbuka Malaysia terus berpanjangan sejak kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada 2018.
Begitupun keputusan di Terbuka Malaysia kali ini bukanlah gambaran sebenar prestasi kedua pemain ini memandangkan Zii Jia dan Tze Yong mampu untuk menewaskan mana-mana pemain terbaik dunia di hari-hari terbaik prestasi mereka.
Tahun lalu, Tze Yong telah membuktikan dia berupaya untuk menumpaskan beberapa pemain terhebat dunia, antara yang diingati adalah kejutan terbesar di Seluruh England pada Mac dengan menyingkirkan Viktor Axelsen.
Zii Jia akan meneruskan aksinya di Terbuka India pada minggu hadapan disusuli Master Indonesia pada minggu berikutnya manakala keadaan Tze Yong masih lagi sedang dipantau oleh pihak perubatan.
Pemburuan ke Paris 2024 juga semakin rancak dengan Zii Jia dan Tze Yong perlu mempertahankan kedudukan ranking Sukan Olimpik mereka, iaitu di tangga ke 11 dan 13 dalam usaha untuk memastikan dua wakil perseorangan lelaki negara di temasya sukan terbesar dunia itu pada Julai ini. – UTUSAN