KUALA LUMPUR: Malaysia hanya memiliki dua wakil yang akan beraksi pada suku akhir dan beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi pasangan kedua negara menempah slot ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, hari ini.
Gandingan No. 4 dunia itu tidak berdepan masalah untuk mengetepikan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-16 dalam masa 37 minit.
Beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terlebih dahulu mengesahkan tempat ke peringkat lapan terbaik selepas mengalahkan gandingan No. 5 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-10, 11-21, 24-22 dalam pertarungan yang berlangsung lebih sejam.
Wooi Yik ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, mereka sudah terbiasa mara ke peringkat seterusnya tanpa diiringi dengan ramai wakil Malaysia.
“Saya dengan Aaron dah banyak kali berdepan situasi yang sama, kami cuma fokus kepada permainan kami.
“Perlawanan yang sukar menanti kami, esok, harap para penyokong dapat hadir memberi sokongan agar kita lebih bersemangat,” katanya.
Pada suku akhir, esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan ujian cukup getir apabila perlu menentang juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Walaupun berdasarkan rekod pertemuan berpihak kepada beregu negara 2-1, tetapi, Min Hyuk-Seung Jae yang menghuni ranking No. 3 dunia itu kini berada pada prestasi terbaik selepas baru sahaja menenangi Jelajah Dunia Akhir di China, Disember lalu.
Aaron ketika ditanya mengenai pertembungan tersebut mengakui, pasangan Korea Selatan itu merupakan pencabar yang sukar, tetapi, mereka telah terbiasa bertemu antara satu sama lain.
“Kami dah lawan banyak kali, mereka pun baru menang Jelajah Dunia Akhir, jadi, perlawanan, esok memang bukan mudah.
“Tetapi apa yang mereka capai itu berlaku pada tahun 2023, sekarang sudah 2024, jadi, kita mula balik kepada 0-0,” jelas anak kelahiran Melaka itu dalam nada gurauan.
Satu lagi beregu negara, Yew Sin-Ee Yi turut menerima nasib serupa apabila mereka akan beraksi menentang pasangan handalan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun di suku akhir.
Sementara itu, empat lagi wakil negara iaitu tiga beregu campuran terdiri, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See serta wakil tunggal acara perseorangan, Goh Jin Wei tunduk kepada lawan masing-masing.
Tang Jie-Ee Wei tewas kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 22-24, 14-21, manakala, Soon Huat-Shevon kalah ditangan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 15-21, 12-21 dan Peng Soon-Yee See tumpas straight set kepada pilihan kelima, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 14-21, 14-21.
Jin Wei pula akur kepada pemain No. 7 dunia, Gloria Mariska Tunjung dari Indonesia 15-21, 22-24. – UTUSAN