PETALING JAYA: Ketua jurulatih Speedy Tigers, A. Arul Selvaraj menegaskan barisan kejurulatihan dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah memberikan segalanya kepada pemain dan kini sudah tiba masanya mereka membalas kepercayaan tersebut.
Arul berkata, semuanya terletak kepada pemain untuk mengambil tanggungjawab dan memberikan kemahuan tinggi untuk memastikan Speedy tigers layak ke temasya Sukan Olimpik Paris menerusi kelayakan Olimpik yang bermula pada 15 hingga 21 Januari ini.
Ketika ini, skuad hoki lelaki negara dalam fasa persiapan terakhir sebelum berlepas ke Muscat, Oman dengan misi memburu salah satu daripada tiga tiket ditawarkan ke Sukan Olimpik Paris dan Arul mahu pastikan Speedy Tigers meraih slot berkenaan.
“Saya serahkan kepada pemain, kalau semua ada kemahuan tinggi untuk menang, makan dan tidur dengan betul, maka kita ada peluang cerah. Kalau mereka balik tidur tak fikir mengenai apa yang perlu dilakukan, maka susahlah.
“Pemain perlu mengambil tanggungjawab lebih untuk layak ke Sukan Olimpik Paris. Saya dan barisan kejurulatihan sudah bagi semua, saya tak mahu alasan lagi, mereka perlu buktikan di atas padang dengan pamerkan semangat juang yang tinggi,” kata Arul.
Kelayakan Olimpik di Oman merupakan peluang terbaik buat Speedy Tigers untuk merealisasikan impian beraksi di bumi Perancis pada 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan, sekali gus menamatkan penantian 24 tahun negara ke pentas Olimpik.
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di temasya berprestij dunia itu adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia yang ketika itu pengurus pasukan sekarang, Datuk Mirnawan Nawawi masih mengetuai jentera serangan skuad Speedy Tigers.
Mengulas lanjut, biarpun sedar misi ke Olimpik Paris bukan tugas mudah, tetapi Arul percaya dengan kemampuan barisan 28 pemainnya termasuk lapan dari skuad remaja yang beraksi pada Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil awal bulan ini.
Anak-anak buah Arul dijadual bertolak ke Oman pada 11 Januari ini untuk menghadapi dua aksi persahabatan dengan Kanada dan Chile sebelum membuka kempen Kumpulan A menentang China lima hari kemudian.
Skuad negara yang kini di ranking ke-12 dunia, akan meneruskan saingan menentang Great Britain (16 Januari) dan Pakistan (18 Januari) dengan misi menempatkan diri sebagai dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.
Impian Malaysia akan tercapai sekiranya layak ke final, namun Speedy Tigers tetap mempunyai peluang jika gagal dengan syarat wajib memenangi aksi penentuan tempat ketiga dengan New Zealand dan Jerman dijangka menjadi lawan di peringkat itu. – UTUSAN