KUALA TERENGGANU: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jesse Ewart, mencuri tumpuan setelah mengungguli peringkat pertama Jelajah Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Pelumba Ireland berusia 30 tahun itu muncul paling awal di garisan penamat pada perlumbaan sejauh 134.4 kilometer dengan catatan masa 2 jam 59 minit 55 saat (s) untuk menyarung jersi kuning.
Ewart tiba bersama dua lagi pelumba, Anass Al Abdia daripada Abu Dhabi Cycling Club dan pelumba kebangsaan Rwanda, Eric Manizabayo namun masing-masing akur di tempat kedua dan ketiga.
Jersi hijau selaku raja pecut bagi hari pertama juga menjadi milik Ewart apabila mengungguli dua zon pecutan untuk mengutip 26 mata mengatasi Al Abdia dan Manizabayo.
Turut cemerlang pelumba berpengalaman TSG, Mohd. Harrif Saleh yang menamatkan perlumbaan peringkat pertama itu dari Sharjah ke Kalba di kedudukan ke-10 keseluruhan.
Empat lagi wakil TSG, Kee Zhe Yie pula di tempat ke-35 manakala pelumba baharu gergasi Asia itu, Nur Aiman Rosli (43), Metkel Eyob (60) dan Anatoli Budiak di kedudukan ke-74.
Peringkat kedua perlumbaan berstatus 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu akan bermula hari ini dari Beeah ke Ajman Makan sejauh 137.6 kilometer menawarkan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian.
“Ewart mempamerkan kayuhan bertenaga hari ini (semalam) apabila berada di kelompok depan sejak awal saingan sambil dibantu percaturan rakan-sepasukan yang lain.
“Ini adalah permulaan yang baik walaupun dia (Ewart) diekori rapat dan kita optimis untuk konsisten pada peringkat berikutnya,” kata Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus. – UTUSAN