PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengharapkan lebih ramai pemain negara mampu mencapai gelaran pada Terbuka Malaysia 2024.
“Saya harap untuk kejohanan Terbuka Malaysia esok, semua pemain mampu melakar pergi ke peringkat akhir bukan sahaja Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
“Akan tetapi kita nampak Aaron dan Wooi Yik mempunyai peluang yang lebih tinggi ke peringkat akhir Terbuka Malaysia apabila melihat segi kondisi dan cara permainan.
“Terbuka Malaysia adalah sangat penting kerana kita bermain di tempat sendiri dan rumah sendiri.
“Tekanan memang ada tetapi pemain perlu mengawal dengan diri sendiri ,” katanya kepada pemberita.
Kali terakhir wakil Malaysia yang melakar gelaran juara dalam kejohanan Terbuka Malaysia adalah melalui Chong Wei pada 2018.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu meminta semua pemain agar tidak mengalah dan perlu memberikan yang terbaik kepada peminat yang hadir.
“Ini adalah satu tanggungjawab yang berat kerana semua peminat hadir dan pemain perlu buat dengan terbaik untuk karier dan negara.
“Penonton tidak mahu melihat kita berputus asa tetapi jika kita kalah mereka faham kita sudah bersungguh-sungguh untuk mencuba yang terbaik,” katanya.
Kejohanan Terbuka Malaysia merupakan kejohanan pertama Jelajah Dunia BWF bagi tahun 2024 dan akan membuka tirai pada 9 sehingga 14 Januari di Axiata Arena, Kuala Lumpur. – UTUSAN