PETALING JAYA: Tindakan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menggalas tanggungjawab sepenuhnya di atas prestasi kurang memuaskan skuad Harimau Malaya di Piala Asia 2023 adalah sikap terpuji.
Meskipun melakukan beberapa kesalahan dalam percaturan taktikal permainan dan pemilihan pemain namun sepatutnya mereka yang berada bersama pasukan di Qatar perlu mengambil tanggungjawab masing-masing bermula dari atasan hingga bawahan.
Menurut pemerhati bola sepak, Mohd. Sadek Mustafa secara realistik skuad kebangsaan sejak awal lagi dilihat sukar mencari kemenangan, selain merupakan pasukan miliki ranking terendah iaitu 130 berbanding Korea Selatan 23 dunia, Jordan (87) dan Bahrain (86).
“Memang (Pan Gon) ada buat kesilapan daripada aspek taktikal tetapi sedikit sebanyak lawan memang terbukti lebih handal daripada pasukan negara.
“Itu yang jelas, ada yang kritik beliau buat taktikal permainan menggunakan formasi 4-3-3 melawan Jordan tetapi realitinya Jordan pasukan yang kuat selain memiliki kemahiran individu cukup baik dan jurang cukup besar berbanding pemain kita, selain memanfaatkan setiap peluang dicipta dengan menghasilkan gol.
“Kita kena terima hakikat keputusan di Piala Asia kali ini. Lawan Bahrain kita tunjuk peningkatan dan seandainya peluang dicipta skuad negara antaranya menerusi Arif Aiman (Hanapi) dapat menjaringkan gol mungkin keputusan berubah tetapi ia tidak berlaku namun kita tetap memberi tentangan yang hebat.
“Diakui selain kesilapan taktikal ketika menentang Jordan, memasukan Natxo (Insa) juga satu kesilapan kerana di bangku simpanan masih ada pemain seperti Brendan Gan tetapi itu pilihan Pan Gon dan barisan jurulatihnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Ketika ditanya adakah pengendali Korea Selatan itu membawa barisan terbaik ke Piala Asia Qatar kali ini.
“Ya…Pan Gon miliki set pemain yang baik tapi mungkin perlu tambah beberapa pemain remaja yang boleh melengkapkan pasukan dia dan pemain muda perlu membuktikan mereka layak berada dalam skuad senior,” tambahnya.
Pan Gon, 54, mula dilantik pada Mac 2022 hanya memerlukan tiga bulan untuk menamatkan ‘sumpahan’ 43 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit selepas kali terakhir di pentas tertinggi benua ini pada 1980 yang berlangsung di Kuwait.
Untuk rekod, Pan Gon telah menandatangani kontrak baharu selama dua tahun lagi dan akan terus membimbing skuad kebangsaan sehingga 2025.-UTUSAN