PETALING JAYA: Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan memasang tekad untuk mencapai angkatan keseluruhan 300 kilogram (kg) pada kejohanan di Thailand April ini.
Bagi mencapai sasaran itu, Aniq merangka latihan rapi sebagai persiapan untuk mengharungi kejohanan berkenaan.
Jelas Badang berusia 21 tahun itu, walaupun berehat panjang daripada kejohanan selepas kali terakhir menyertai pertandingan Disember lalu, dia mahu memastikan momentumnya tidak tersasar sebelum menghadapi temasya besar seperti Sukan Olimpik di Paris tahun ini.
“Persiapan sepanjang tempoh 2024 belum ada lagi namun ketika ini saya lebih tumpu kepada proses pemulihan dan membaiki lagi angkatan untuk kejohanan akan datang.
“Alhamdulillah, saya tidak berhadapan sebarang kecederaan dan perkara penting adalah untuk mencapai sasaran 300kg pada kejohanan di Thailand,” katanya.
Bulan lalu, Aniq terus mencipta memecahkan rekod kebangsaan untuk kategori 61 kilogram (kg) dengan angkatan seberat 126 kg dalam snatch dan menyempurnakan angkatan 170 kg bagi clean and jerk.
Ini menyaksikan Aniq merekodkan angkatan keseluruhan sebanyak 296kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan yang diciptanya sebelum ini iaitu 291kg.
Rekod itu dicipta dalam Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa yang diadakan di Doha, Qatar bulan lalu.
Aniq ketika ini, Aniq berada di ranking ketujuh selepas mencatatkan kejayaan positif pada penampilannya di Doha, Qatar, sekali gus semakin hampir dengan sasaran untuk berada di kelompok empat terbaik dunia.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu juga tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) selepas dia menepati kriteria ditetapkan sebagai antara prospek memenangi pingat di Olimpik. – UTUSAN