LONDON: Arsenal kembali menemui sentuhan kemenangan selepas membelasah Crystal Palace 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Stadium Emirates sebentar tadi.
Pesta gol Arsenal bermula sejak minit ke 11 apabila pemain pertahanan, Gabriel Magalhaes menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru yang diambil Declan Rice.
Gabriel sepatutnya menjadi penjaring gol kedua Arsenal pada minit ke 37, namun pengadil perlawanan melabel gol tersebut adalah jaringan sendiri pemain Crystal Palace, Dean Henderson selepas gagal mengeluarkan bola daripada sepakan penjuru.
Bersambung babak kedua, Arsenal terus garang dengan Leandro Trossard meledak gol ketika tuan rumah pada minit ke 59.
Tatkala pelawat sudah pun pasrah dengan keputusan tersebut, pemain sayap dari Brazil, Gabriel Martinelli menambah luka Crystal Palace pada penghujung babak kedua dalam tempoh dua minit.
Bermula dari serangan balas, Martinelli yang mendapat umpanan Eddie Nketiah bijak melepaskan diri daripada kedudukan ofsaid untuk menjaringkan gol keempat Arsenal pada minit ke 94.
Seminit kemudian, berpunca daripada gerakan yang sama, Martinelli berjaya membuat larian sebelum melepaskan rembatan ke gawang Crystal Palace untuk gol kelima tuan rumah.
Kemenangan ini menyaksikan Arsenal kini di tangga ketiga liga dengan 43 mata, manakal Crystal Palace di tempat ke 14 dengan 21 mata.