PETALING JAYA: Isu angin yang kuat di Axiata Arena dijangka sekali lagi menjadi cabaran buat kebanyakkan pemain badminton dalam dan luar negara apabila Kejohanan Terbuka Malaysia akan membuka tirai Selasa depan.
Sejak Axiata Arena yang dahulunya dikenali sebagai Stadium Putra Bukit Jalil kembali menjadi tuan rumah kepada kejohanan ini pada 2018, para pemain yang menyertai saingan ini berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri.
Penghawa dingin yang kuat menjadikan venue ini bukan sahaja sejuk, namun turut memberikan kesan kepada arah angin yang menyebabkan kebanyakkan pemain sukar untuk mengawal pergerakan bulu tangkis.
Tahun lalu, antara pemain yang menjadi mangsa kepada permasalahan angin di Axiata Arena adalah perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sehingga dia kecundang awal kepada pemain Jepun, Kodai Naraoka.
Malahan ketika Datuk Lee Chong Wei menjadi wakil terakhir negara memenangi kejuaraan Terbuka Malaysia pada 2018, beliau turut menyuarakan perkara sama tentang tiupan angin di venue itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk S.Subramaniam yang juga Timbalan Presiden menjelaskan pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa mengenai perkara itu memandangkan BAM hanyalah menyewa venue berkenaan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Begitupun, BAM tetap mendengar aduan pemain dan mengambil tanggungjawab jawab dengan meletakkan hadangan kain besar di beberapa kawasan bagi mengurangkan rintangan angin ke arah gelanggang.
Setakat ini persiapan oleh pihak BAM untuk memastikan kejohanan ini berjalan lancar hampir siap sepenuhnya dengan para pemain sudah pun dibenarkan menguji gelanggang bermula hari ini sehingga esok.
“Ini adalah stadium serbaguna yang digunakan untuk pelbagai acara, jadi untuk kami di pihak BAM, kami sudah pun mengutarakan hal angin kuat (air draft) kepada PSM. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga ingin tegaskan isu angin kuat ini juga wujud di beberapa venue lain di luar negara, jadi ia bukan perkara baru dihadapi para pemain.
“BAM telah mengambil beberapa langkah untuk permasalahan ini, tetapi kami juga mempunyai keterbatasan kerana stadium ini bukan milik kami, kami hanya menyewa daripada PSM,” jelas Subramaniam yang ditemui Utusan Malaysia.