PETALING JAYA: Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar tidak rela mempersia-siakan peluang mendapat jemputan beraksi di dua Kejohanan Jelajah Benua Olahraga Dunia Taraf Gangsa di Australia dalam usaha untuk layak buat julung kalinya ke ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Berdasarkan semakan ranking ke Sukan Olimpik, Andre berada di kedudukan ke 30, dengan 32 atlet terbaik dalam ranking itu akan layak beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu pada Julai depan.
Dua atlet di bawah iaitu Andre Endiorass Kingley dari Ausria mempunyai catatan peribadi terbaik sejauh 16.06m, manakala Topias Koukkula dari Finland pula dengan lompatan sejauh 15.81m.
Justeru, Andre mempunya peluang yang amat cerah dengan syarat dia harus menjarakkan kedudukan dengan memperbaiki rekod peribadinya iaitu 16.51 meter (m) yang dilakar ketika Sukan SEA Hanoi 2022 dan mempertahankan kedudukan tersebut sehingga tamat tempoh kelayakan iaitu pada penghujung April ini.
Sejak Malaysia mula menyertai Sukan Olimpik 1956 di Melbourne Australia, belum pernah ada atlet lompat kijang negara layak ataupun diberikan wild card untuk beraksi di temasya sukan itu.
“Sejujurnya saya langsung tidak menyangka mempunyai peluang untuk ke Sukan Olimpik sehinggalah saya dan jurulatih, Firdaus Salim dimaklumkan ketika bermesyuarat dengan MSN (Majlis Sukan Negara).
“Untuk sekarang ini, apa yang saya perlu lakukan adalah menampilkan aksi cemerlang untuk dua kejohanan di Australia dan seterusnya satu kejohanan di New Zealand, dan ini bakal menjadi penentu sama ada saya akan ke Sukan Olimpik ataupun sebaliknya.
“Kejohanan di Australia adalah bertaraf Gangsa, jadi mata ranking yang ditawarkan amat banyak. Saya perlu mengutip seberapa banyak mata yang perlu dengan membuat lompatan sejauh 16.5m ke atas, dan jika saya berjaya menang, saya anggap itu bonus.
“Sukar juga (mengekalkan kedudukan dalam kelompok 32 terbaik) tetapi bagi saya tiada apa yang mustahil,” jelas Andrea yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Selain Andre, turut sama akan mengiringinya ke Kejohanan Jelajah Benua Olahraga Dunia Taraf Gangsa di Australia adalah atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin yang turut berpeluang layak ke Sukan Olimpik Paris. – UTUSAN