PETALING JAYA: Bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli diumumkan secara rasmi sebagai sebagai ketua jurulatih Penang FC untuk menghadapi saingan Liga Super musim 2024-2025.
Jurulatih berusia 42 tahun terbabit yang baru sahaja mendapat lesen kejurulatihan, AFC Pro Diploma diumumkan oleh pihak pengurusan sebagai ketua jurulatih bagi skuad berjulukan Harimau Kumbang, semalam.
“Rasmi, Akmal Rizal Ahmad Rakhli telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan Liga Super Penang FC bagi musim 2024/25 Selamat bertugas coach Akmal…Haria Penang Haria,” kata Penang FC.
Sebelum ini, Akmal Rizal memegang peranan sebagai ketua jurulatih sementara untuk baki tiga perlawanan Liga Super pada musim lalu bagi menggantikan tempat Manzoor Azwira.
Sepanjang tempoh itu, Akmal Rizal berhasil mengemudi Penang FC mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sekaligus menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga kesepuluh.
Dalam pada itu, Manzoor, 47 tahun, yang turut mendapat lesen AFC Pro Diploma bersama-sama Akmal Rizal sekitar pertengahan November lalu dilantik sebagai ketua jurulatih Penang FC II bagi mengendalikan skuad bawah 23 tahun.
Dalam satu kenyataan yang berlainan pada malam tadi, Penang FC turut mengumumkan melantik bekas penyerang import dari Maghribi, Merzagua Abderrazak sebagai Pengarah Teknikal.-UTUSAN