PETALING JAYA: Penyerang hoki lima sepasukan (5’s) negara, Akhimullah Anuar Esook berhasrat untuk menggegar lebih banyak gol apabila masih diberi kepercayaan jentera serangan Malaysia di Kejohanan Hoki Piala Dunia 5’s, Muscat, Oman pada 28 hingga 31 Januari ini.
Reputasi Akhimullah sebagai peledak sudah pun dibentuk sejak dia muncul penjaring terbanyak Liga Hoki Remaja dengan menghasilkan 18 gol pada musim 2018.
Tahun sama ketika dia membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, Akhimullah turut menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan meledak 22 gol.
Malahan ketika kempen Piala Asia Hoki 5s di Salalah, Oman pada September lalu, Akhimullah berjaya meledak 17 gol untuk berada di tempat kelima senarai penjaring terbanyak kejohanan.
“Ini adalah sasaran saya, untuk ke Piala Dunia bersama skuad kebangsaan memang saya belum capai lagi, tetapi saya anggap inilah rezeki saya untuk Hoki 5’s.
“Dari segi teknik jaringan saya, masih banyak kekurangan. Tetapi selepas aksi Piala Asia yang lalu, saya sudah cuba mempertajamkan teknik saya, dan untuk Piala Dunia saya akan cuba memberikan yang terbaik.
“Saya anggap ini semua adalah satu suntikan motivasi untuk saya bagi mengukir nama di pentas antarabangsa. Saya menjadi lebih bersemangat dan akan berusaha untuk memperbaiki permainan saya,” jelas Akhimullah.
Kelmarin, Akhimullah dinamakan sebagai salah seorang daripada 10 orang pemain yang akan menggalas tugas negara di kejohanan itu.
Malaysia diundi berada dalam Kumpulan A dengan Fiji, Belanda dan tuan rumah, Oman. – UTUSAN