Aaron-Wooi Yik jumpa Sze Fei-Izzuddin di pusingan kedua

Aaron-Wooi Yik jumpa Sze Fei-Izzuddin di pusingan kedua Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR 10 JANUARI 2024 - Aksi pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sewaktu menentang pemain Denmark, Rasmus Kjær dan Frederik Søgaard pada perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan kemaraan mereka ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia bakal menyajikan satu pertembungan menarik antara dua wakil Malaysia di Axiata Arena, esok.

Bekas juara dunia itu menumbangkan gandingan Denmark, Rasmus Kajaer-Federik Sogaard 20-22, 21-13, 21-13 dalam pertarungan yang berlangsung selama lebih sejam.

Pada pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang sekali gus memastikan salah satu slot suku akhir menjadi milik wakil Malaysia.

Aaron berkata, bukan mudah sebenarnya apabila perlu menentang rakan senegara yang selama ini berlatih bersama-sama.

“Hari-hari kami berlatih sama-sama, kami saling mengenali permainan masing-masing dengan sangat baik.

“Bagaimanapun, ada kebaikannya kerana tak kira siapa yang mara ke peringkat seterusnya, sekurang-kurangnya ada wakil Malaysia yang akan layak mewakili beregu lelaki, tugas kami hanya bertarung antara sama lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ketika ditanya peluang untuk merangkul gelaran di tanah air sendiri yang belum pernah mereka kecapi, Aaron memberitahu, kadang kala keterujaan dapat bermain di laman sendiri telah membuat mereka terlalu berusaha keras kerana keinginan yang tinggi untuk menang di Malaysia, tetapi, malangnya segala perancangan itu tidak pernah menjadi.

Mengulas pula mengenai beregu Denmark yang kali pertama mereka temui, pemain berusia 26 tahun itu menjelaskan, pada awal permainan, mereka berasa tidak selesa menentang Kjaer-Sogaard, namun, secara perlahan-lahan dia dan Wooi Yik kembali meraih keyakinan serta rentak dalam permainan.

Wooi Yik pula berkata, Kjaer-Sogaard merupakan gandingan yang berkualiti tinggi dan pernah menumbangkan beregu No. 1 dunia dari China sebanyak dua kali.

“Kami sedar bukan mudah beraksi menentang mereka, hari ini, perlawanan pertama, semuanya tentang strategi,” ujarnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut melahirkan rasa gembiranya berjaya melakar kemenangan di hadapan penyokong sendiri dan berharap para peminat sukan badminton tanah air terus memberikan sokongan kepada Terbuka Malaysia.

Aksi pemain beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See sewaktu menentang pemain Taiwan, Chang Ko-Chi dan Lee Chih Chen pada perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Sementara itu, dua lagi wakil negara turut mengikut jejak langkah Aaron-Wooi Yik ke pusingan kedua selepas pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See menewaskan lawan masing-masing.

Jin Wei menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan mara ke peringkat seterusnya selepas menundukkan pemain Taiwan, Sung Shuo Yun 21-18, 21-11 dan sekali gus mencatat pertembungan dengan pemain No. 7 dunia, Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.

Aksi pemain perseorangan wanita Malaysia, Goh Jin Wei sewaktu menentang pemain Taiwan, Sung Shuo Yun pada perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Peng Soon-Yee See pula mengetepikan cabaran Chang Ko Chi-Lee Chih Chen dari Taiwan dalam perlawanan yang diheret sehingga ke rubber set 11-21, 26-24, 21-8.

Gandingan No. 41 dunia itu bakal berdepan laluan getir menentang pasangan No. 5 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di pusingan kedua.

Aksi pemain beregu wanita Malaysia, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien sewaktu menentang pemain China, Li Wen Mei dan Liu Xuan Xuan pada perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Dua lagi beregu wanita, Go Pei Kee-Low Yee Yuan dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien gagal meneruskan kemaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya