KUALA LUMPUR: Pemain beregu badminton No. 1 negara, Aaron Chia keberatan untuk bercakap tentang sasaran menjelang Terbuka Malaysia, minggu depan, namun, dalam masa sama dia masih mengharapkan kejohanan di laman sendiri itu mampu menjadi satu permulaan baik bagi musim 2024.
Dengan Sukan Olimpik di Paris menjadi sasaran utamanya, Aaron berkata, dia perlu bermain lebih konsisten dan bekerja keras bagi memastikan impian ke temasya empat tahun sekali itu terus kekal bernyala.
“Saya memang amat berharap pernampilan kami pada Terbuka Malaysia yang merupakan kejohanan pertama bagi 2024 akan menjadi satu permulaan yang baik buat kami.
“Saya rasa itulah sasaran kami, tetapi saya tak boleh hendak cakap lebih, saya kalau boleh tak mahu ulas pasal sasaran, apa yang penting fokus untuk diri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia dekat sini, semalam.
Aaron-Wooi Yik kini menghuni ranking No. 4 dunia dan mereka perlu mengekalkan kedudukan dalam kelompok lapan terbaik sehingga tarikh akhir 28 April ini bagi memastikan slot ke Sukan Olimpik terjamin.
Menurut pemain berasal dari Melaka itu, selepas menjuarai Terbuka Denmark, Oktober lalu, prestasi dia dan gandingannya, Wooi Yik tidak begitu bagus terutama aksi mereka pada Jepun Masters dan China Masters.
Jelasnya, penampilan mereka pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China bulan lepas juga berakhir dengan keputusan mengecewakan.
“Saya rasa kebanyakan kekurangan kami disebabkan faktor mental, semasa di Jepun dan China fokus kami lari, sementara, ketika Jelajah Dunia Akhir pula kami tak mampu atasi tekanan, sejak beberapa tahun lalu kami sentiasa tersekat di peringkat kumpulan,” ujarnya.
Aaron yang diberi cuti selama tiga hari dan berpeluang berehat di Hong Kong menjelang tahun baharu amat berharap, kepulangannya daripada percutian tersebut dapat membantu mengubah prestasinya bagi mendapatkan tenaga baharu pada Terbuka Malaysia nanti.
Aaron-Wooi Yik bakal memulakan kempen mereka pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu dengan berdepan pasangan No. 22 dunia, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark seawal pusingan pertama. – UTUSAN