SEPANG: Kejayaan kontinjen negara meraih empat pingat dalam Kejohanan Olahraga Orang Pekak Asia Pasifik baru-baru ini menjadi penanda aras kemampuan Zaiman Megat Abu memikul cabaran Kejohanan Deaflympics Tokyo dalam tempoh dua tahun lagi.
Zaiman yang membuat kejutan merangkul sebutir pingat emas dan perak dalam acara lompat kijang dan lompat jauh dalam temasya di Teheran, Iran itu dianggap antara prospek negara untuk menuai pingat pada kejohanan di Tokyo kelak.
Ketua jurulatihnya, Mohd. Aminluddin Mohd. Amin berkata, untuk 2025 dia antara prospek di Deaflympics Tokyo dan kita ada dua tahun untuk mempersiapkan dia bagi kejohanan besar itu. Dia berpotensi besar dan mampu melangkah lebih jauh kerana masih muda,” katanya sekembalinya kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Selain Zaiman, dua lagi atlet negara, Hazrul Shah Hamri berjaya mendapat pingat perak bagi acara lompat kijang manakala Azlan Kunte membawa pulang gangsa dalam acara 10,000 meter.
Kedua-duanya juga akan mewakili Perlis dalam Kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia Ke-21 (SOPMA XXI) dari 3 hingga 7 Disember ini sejak kali terakhir diadakan di Perak pada 2018.
“Meskipun ini julung kali diadakan, namun kejayaan tiga wakil kita boleh dianggap sebagai positif,” kata ketua jurulatih, Mohd Aminluddin.
Tiga lagi atlet negara yang menyertai beberapa acara dalam kejohanan berkenaan ialah Mohd. Shahrul Azmeer serta dua adik-beradik, Aidil A. Asyraff Juakim, Aidil A Afifat Juakim.
Mengulas lanjut, Mohd. Aminluddin menambah, penyertaan mereka kali ini lebih kepada untuk pendedahan atlet negara yang berpotensi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.
“Sebenarnya tidak banyak pertandingan bersifat kompetitif di luar negara malahan ada juga mereka menyertai acara yang diadakan secara terbuka kepada atlet normal,” jelasnya. – UTUSAN