KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim memberi peringatan kepada anak-anak buahnya agar tidak terlalu menghormati Argentina dalam perlawanan kedua Piala Dunia Hoki Remaja 2023.
Muhamad Amin berkata, biarpun Argentina tampil dengan reputasi hebat selaku juara bertahan dan pasukan nombor satu dunia, namun dia yakin anak-anak buahnya mampu memberikan saingan sengit dan meraih keputusan positif.
“Saya percaya dengan kemampuan yang dimiliki pemain saya. Kita tidak perlu terlalu menghormati Argentina. Kita tahu mereka adalah juara bertahan dan ada kekuatan yang tersendiri.
“Tetapi tetapi pasukan sekarang tidak sehebat seperti di Bhubaneswar, India (Piala Dunia Remaja 2021). Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan barisan pemain, saya percaya kami ada kemampuan untuk memberikan saingan sengit kepada Argentina.
“Kita tidak memberi perhatian kepada kemampuan kepada kekuatan lawan, tetapi kita lebih memberi tumpuan kepada persediaan kita untuk berdepan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Malaysia membelasah Chile 7-1 pada aksi pertama.
Mengulas mengenai perlawanan, Muhamad Amin berkata, dia sangat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya selain menyifatkan segala usaha menajamkan kelemahan yang dikenal pasti sebelum ini berhasil.
“Saya harap pemain yang terlibat dengan pukulan sudut penalti dan jaringan padang akan lebih konsisten untuk setiap pukulan bagi perlawanan selepas ini. Apa yang mereka pamerkan hari ini hanya 50 hingga 60 peratus sahaja, lagi 40 peratus pada kesilapan mudah yang perlu diperbaiki dalam masa 24 jam.
“Kita tak boleh leka walaupun sesaat untuk bertemu Argentina, mereka satu pasukan yang mempunyai skill individu sangat tinggi, dan struktur pasukan agak berbeza dengan pasukan lain,” katanya.- UTUSAN