KUALA LUMPUR: Sikap sambil lewa dan mengambil mudah tentangan Mesir hampir membawa padah buat skuad hoki remaja negara dalam perlawanan klasifikasi kedudukan tempat kesembilan hingga ke-16 Piala Dunia Hoki Remaja 2023, semalam.
Biarpun berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Mesir, persembahan skuad negara dikritik oleh pengendalinya, Mohamad Amin Rahim yang menyifatkan para pemainnya terlalu banyak melakukan kesilapan di bahagian pertahanan dan serangan.
Ketumpulan penyudah pukulan sudut penalti juga menjadi sesuatu yang membimbangkan dalam aksi menentang Mesir apabila skuad kendalian Amin hanya berjaya menjaringkan tiga gol daripada 16 pukulan sudut penalti yang dihadiahkan kepada Young Tigers.
Amin berkata, semua pemain tidak beraksi dengan baik kerana berkemungkinan mereka mempunyai mentaliti bahawa lawan (Mesir) adalah mudah untuk diatasi berbanding pasukan besar yang lain dalam kempen Piala Dunia Hoki Remaja 2023.
“Saya gembira dengan kemenangan ini, kita berjaya memastikan pasukan berada dalam kelompok kesembilan hingga ke-12. Namun, ada banyak kesilapan mudah di bahagian pertahanan dan serangan. kita dapat 16 pukul sudut penalti dan hanya menjaringkan tiga gol.
“Ini sangat teruk, perkara ini perlu diperhalusi dan perbetulkan secepat mungkin kerana lawan (Belgium) di peringkat seterusnya akan membawa kesukaran kepada kita. Pemain kena bersedia dan bukannya berada pada tahap yang sama.
“Bagi saya, semua pemain tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Mesir dan saya berharap mereka bangun dan perbaiki kelemahan yang ada. Bukan sahaja nama besar dalam pasukan, tetapi semua pemain,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Mengulas faktor lain yang menyumbang kepada kesilapan yang dilakukan pemainnya, Amin berkata, rata-rata pemain muda negara berkemungkinan gagal mengatasi tekanan dalam diri masing-masing untuk bermain dalam kejohanan besar.
Dalam aksi menentang Mesir, empat gol Malaysia dijaringkan oleh Harris Osman menerusi gol padang, manakala tiga gol menerusi pukulan sudut penalti hasilkan oleh Faris Harizan, Mohamammad Danish Aiman dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar.
Dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12 pada esok, Young Tigers akan berdepan Belgium yang berjaya membelasah Kanada 12-0, sekali gus menampakkan cabaran yang bakal dihadapi anak-anak buah Amin.-UTUSAN