KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang untuk mengesahkan slot lebih awal ke peringkat suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023 sekiranya mencatatkan kemenangan ke atas Argentina dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Biarpun agak sukar kerana Argentina turun dengan status selaku juara bertahan selain turut berjaya menewaskan satu lagi pasukan pilihan, Australia 1-0 semalam, ketua jurulatih negara, Mohamad Amin Rahim tetap yakin anak-anak buahnya mampu raih keputusan positif.
Mohamad Amin berkata, dia percaya dengan keupayaan anak-anak buahnya untuk mengejutkan Argentina walaupun lawan dikatakan menyimpan kekuatan sebenar mereka ketika menentang Australia.
“Argentina adalah pasukan yang ada kemahiran individu sangat tinggi. Struktur mereka agak berbeza berbanding pasukan-pasukan lain walaupun ada sedikit persamaan corak permainan dengan Chile.
“Mereka menang saat-saat akhir ke atas Australia, mungkin mereka ‘simpan kuku’ dan tunggu untuk beraksi dengan kita. Jadi kita tak boleh leka sesaat dan fokus kepada apa yang mahu dilakukan,” katanya.
Barisan pemain meraih tonik terbaik berdepan Argentina yang menjuarai edisi 2021 di Bhubaneswar, India berdasarkan kejayaan menewaskan Chile 7-1 pada aksi pertama semalam.
“Bagus untuk keluar dengan kemenangan dalam perlawanan pertama. Kredit kepada para pemain kerana turun dengan semangat juang tinggi walaupun masih ada beberapa aspek perlu dipertajamkan sebelum bertemu Argentina,” jelas Amin.- UTUSAN