Young Tigers perlu ambil tanggungjawab

Young Tigers perlu ambil tanggungjawab

Muhammad Danish Afnan gagal menangkis jaringan pemain Australia, Lambeth Jake (kanan) dalam saingan Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 5-2 dan akan meneruskan perjuangan memburu tempat kesembilan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak memanfaatkan peluang dan membenarkan kesilapan mudah menyebabkan skuad hoki remaja menanggung kekalahan 5-2 kepada Australia sekali gus menutup sasaran mara ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023, semalam.

Ketua jurulatih Malaysia, Muhammad Amin Rahim berkata, anak-anak buahnya perlu menyalahkan diri sendiri akibat kekalahan tersebut dan membenarkan Australia melakukan jaringan awal telah mengakibatkan moral mereka jatuh.

“Kita benarkan gol awal, mereka ketinggalan 0-3 pada suku pertama, kesilapan yang para pemain lakukan salah diri sendiri.

“Masalah tidak konsisten memang kerap berlaku, sebagai satu pasukan, para pemain perlu ambil tanggungjawab setiap kesilapan yang mereka lakukan di atas padang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tamat di sini, semalam.

Kekalahan tersebut menyaksikan Young Tigers hanya mampu mengutip tiga mata daripada satu kemenangan ke atas Chile dalam perlawanan pembukaan, Selasa lalu dan menghuni kedudukan ketiga.

Australia mengiringi Argentina mara ke suku akhir setelah mengumpul enam mata, manakala, juara bertahan, Argentina mengungguli kedudukan teratas Kumpulan A dengan sembilan mata apabila skuad bimbingan Juan Gilardi itu membenam Chile 8-0 dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Menurut Muhammad Amin, beliau tidak menafikan para pemainnya kelihatan kecewa setelah hajat mereka untuk mara ke suku akhir menemui kegagalan.

Jelasnya, walaupun sasaran awal Malaysia ialah layak ke suku akhir, tetapi, sebagai pasukan yang turun sebagai ‘underdog’ tidak banyak yang boleh dilakukan anak-anak buahnya apabila diletakkan dalam kumpulan sama dengan dua pasukan gergasi.

“Kita tak manfaatkan peluang dan membenarkan kesilapan mudah berlaku, tetapi perjuangan kita masih belum berakhir kerana misi Malaysia kini untuk menamatkan saingan di kedudukan kesembilan pula,” ujarnya.

Beliau turut menggesa anak-anak buahnya bangkit apabila berdepan Mesir dalam aksi penentuan tempat ke-9/16, Isnin ini.

“Kita kena buat persiapan, kita miliki dua hari rehat dan para pemain masih belum boleh berehat kerana berdepan Mesir bukanlah tugas mudah.

“Mesir memiliki barisan pemain yang bertubuh besar dan corak permainan mereka yang begitu fizikal menjadi cabaran kepada anak-anak buah saya, jadi, saya berharap mereka tidak ambil mudah apabila beraksi menentang Mesir nanti,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya