KUALA LUMPUR: Young Tigers masih belum mampu menandingi kehebatan juara bertahan, Argentina apabila mereka dibelasah 0-4 dalam perlawanan kedua Kumpulan A pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Berdepan pasukan seampuh Argentina, anak-anak buah Muhammad Amin Rahim buntu bagi mencari ilham untuk membolosi gawang lawan.
Peluang yang dimiliki seawal minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti gagal mereka jelmakan kepada jaringan.
Malah, sebaliknya skuad bimbingan Juan Gilardi itu pula yang berjaya memecah kebuntuan gol selepas 20 minit permainan berlangsung hasil jaringan padang yang disempurnakan oleh Bautista Capurro.
Young Tigers seperti hilang fokus, apabila pintu gol yang dikawal Mohamad Rafaizul Mohamad Saini, sekali lagi dibolosi menerusi kuisan mudah Marco Aguirregomezcorta bagi melebarkan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-28.
Bagaikan harimau yang hilang taring, gawang skuad bimbingan Muhammad Amin itu bocor lagi pada minit ke-44 dan kali ini, gol ketiga Argentina disempurnakan oleh Inaki Minadeo hasil pukulan sudut penalti.
Pertahanan pasukan negara kian longgar, apabila pintu gol Malaysia sekali lagi dibolosi empat minit berselang menerusi jaringan padang Juan Fernandez.
Deretan peluang menerusi pukulan sudut penalti turut tidak mampu untuk membantu Young Tigers merapatkan jurang jaringan.
Persembahan kurang kemas di hadapan pintu gol pasukan Amerika Selatan itu menjadi salah satu punca kepada kegagalan skuad muda negara.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan Malaysia kini jatuh ke tangga ketiga Kumpulan A sekalipun berkongsi tiga mata dengan Australia setelah dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
Jika berhajat untuk meneruskan kemaraan, Young Tigers perlu memburu kemenangan ke atas Australia yang turut memiliki satu kekalahan di tangan Argentina, semalam.
Argentina yang mengungguli Kumpulan A dengan enam mata selepas dua kemenangan, hampir pasti melangkah ke suku akhir dengan aksi terakhir mereka berdepan pasukan paling lemah iaitu Chile, Jumaat ini.
Chile, hari ini, sekali lagi menjadi pasukan belasahan, apabila mereka dibedil Australia 7-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan lebih awal. – UTUSAN