PETALING JAYA: Skuad hoki remaja negara perlu memerah segala keringat yang ada untuk memastikan mereka mampu memberi saingan kepada Belgium dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12 di Piala Dunia Hoki Remaja 2023 hari ini.
Ini kerana Belgium yang dibimbing Jeroen Baart bagaikan ‘harimau terluka’ selepas mereka tersingkir seawal peringkat kumpulan pada edisi kali ini dan ia dibuktikan ketika mereka membenam Kanada 12-0 dalam perlawanan klasifikasi kesembilan hingga ke-16.
Jurulatih skuad hoki remaja negara, Mohamad Amin Rahim berkata, anak-anak buahnya perlu bersedia dengan ada jua kemungkinan untuk berdepan Belgium kerana kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu penamat terbaik di kejohanan kali ini.
Katanya, Belgium mempunyai kelebihan fizikal berbanding Malaysia selain mereka juga dibekalkan dengan pemain yang mempunyai skil individu, sekaligus memberi gambaran awal Young Tigers bakal menerima tentangan sengit skuad berpangkalan di Eropah itu.
“Lawan Belgium kita kena lebih bersedia dan tidak boleh ambil mudah. Mereka bermain seperti negara Eropah lain seperti Belanda dan Jerman. Kita kena bersedia dalam keadaan fizikal untuk memberi saingan kepada mereka, skil mereka juga agak baik.
“Kedua-dua pasukan memburu penamat terbaik dan saya menjangkakan perlawanan akan berlangsung sengit. Dalam masa yang sama, saya harap para pemain dapat mengeluarkan segala apa yang mereka ada,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Ditanya tentang penyudah pukulan sudut penalti yang dilihat tumpul dalam aksi menentang Mesir, Mohamad Amin berkata, tempoh yang ada digunakan sebaik mungkin untuk menajamkan lagi penyudah Young Tiger dalam aspek pukulan sudut penalti.
“Dalam sesi latihan, kita telah perbaiki sebagai persediaan untuk menentang Belgium,” katanya selepas skuad negara hanya menyempurnakan tiga daripada 16 pukulan sudut penalti ketika berdepan Mesir dalam perlawanan klasifikasi kesembilan hingga ke-16.
Malaysia akan menentang Belgium pada pukul 3 petang ini dan sekiranya menang, Young Tiger akan bersaing untuk klasifikasi kedudukan kesembilan hingga ke-10 dan jika tewas mereka akan merebut kedudukan ke-11 hingga ke-12. – UTUSAN