PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City kempunan untuk mendapatkan tiga mata bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Super 2023 apabila diikat Sri Pahang tanpa sebarang jaringan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Lebih malang, KL City hanya membawa enam pemain sahaja di bangku simpanan untuk beraksi dalam perlawanan ini, dan mereka terpaksa membuat pertukaran pemain hanya selepas 10 minit wisel permainan dibunyikan setelah Declan Lambert mengalami kecederaan untuk digantikan oleh Akram Mahinan.
Situasi itu hampir dimanfaatkan dengan baik oleh Sri Pahang, namun dua percubaan yang dilakukan Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq gagal menepati sasaran.
Aksi di babak kedua menyaksikan tempo permainan menjadi semakin perlahan dengan kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan berhati-hati.
KL City hampir memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke 68, namun percubaan Patrick Reichelt gagal menghasilkan gol biarpun penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin sudah pun tertewas.
Kedudukan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini meletakkan Sri Pahang di tangga kelima liga dengan 45 mata, manakala KL City di tangga keenam dengan 38 mata.
Begitupun kedudukan KL City dijangka akan dipintas Terengganu yang hanya satu mata di belakang pasukan itu, apabila akan menentang Perak esok di Kuala Terengganu.