The Pocket Rocketman simpan kuku?

The Pocket Rocketman simpan kuku?

AZIZULHASNI Awang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebarangkalian jaguh trek sensasi negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk tidak beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di India berkemungkinan strategi enggan menonjolkan prestasi sebenarnya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Biarpun begitu, alasan utama pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman yang bimbang dikhuatiri dijangkiti Covid-19 juga mempunyai asas kerana situasi itu berisiko menjejaskan persiapannya ke temasya berprestij empat tahun sekali itu.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, Azizulhasni dan kem kejurulatihan pasti mempunyai perancangan tersendiri menjelang temasya Olimpik termasuk tidak mendedahkan prestasi semasa jaguh keirin dunia itu.

“Kita semua kena percaya dengan Azizulhasni, dia dan John Beasley pastinya ada perancangan tersendiri termasuk tidak mahu menampakkan dekat mana beliau punya prestasi semasa, ini juga adalah sebahagian daripada taktikal.

“Ini mungkin strategi biarpun kita tahu alasan untuk tidak ke India (ACC) ada logiknya. Tetapi, itu (tidak ke India) adalah alasan kedua kerana pastinya kem kebangsaan ada perancangan untuk melindungi atlet negara di kejohanan luar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) masih belum dapat memberi kata putus sama ada Azizulhasni akan turun mempertahankan gelaran juara di Kejohanan ACC di New Delhi, India Februari depan.

Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gil menjelaskan perkara ini masih di peringkat perbincangan antara PKBM dengan Beasley bagi menentukan takwim kejohanan buat Azizulhasni, khususnya persediaan ke Sukan Olimpik Paris pada Ogos.

Terdahulu, Azizul yang telah mengumpul keseluruhan 12 pingat emas di kejohanan itu telah menyatakan hasrat untuk tidak bersaing pada edisi depan kerana khuatir dengan peningkatan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, apa yang penting ketika ini ialah Azizulhasni perlu layak secara merit ke Olimpik Paris dan PKBM perlu menyusun kejohanan untuk pelumba negara itu mengutip sebanyak mungkin mata kelayakan.

“Yang penting, pastikan Azizulhasni layak ke Olimpik dengan mengutip sebanyak mungkin mata di peringkat kelayakan. Kita tahu, pelumba dari Terengganu itu adalah harapan kita di Olimpik dan dia juga ada misi sana (Olimpik).

“Azizulhasni ada kekuatan luar biasa, di pentas Olimpik, dia tiada sasaran lain kecuali emas. Ini adalah Olimpik terakhirnya, sudah pasti dia akan pergi dengan sasaran besar dan bukannya sekadar peserta sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya