PETALING JAYA: Hanya selepas empat bulan menganggur tanpa sebarang kerja, legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek kini menggalas tugasan baru iaitu mendidik barisan pemain remaja Thailand untuk persediaan Sukan Olimpik Remaja 2026 di Dakar, Senegal.
Untuk permulaan, Persatuan Badminton Thailand (BAT) menghantar tiga orang pemain untuk menuntut ilmu dengan Misbun di Kelab Badminton Nusa Mahsuri sejak Isnin lalu dan usaha sama ini akan berlanjutan untuk beberapa bulan, dengan pemain-pemain ini akan ditukar ganti.
Antara objektif yang dimahukan oleh BAT menerusi kerjasama ini adalah Misbun dapat membantu mereka membentuk prospek juara di temasya sukan itu nanti.
“Untuk setakat ini, berdasarkan yang dimaklumkan oleh Datuk Bun (Misbun) bersama pihak persatuan Thailand, tempoh latihan akan berlangsung sebulan, dan kemudian disambung sebulan, dan seterusnya, sama ada pemain yang sama, ataupun mungkin akan ditukar berdasarkan penilaian.
“Ini adalah permintaan daripada BAT sendiri yang mahukan modul latihan Datuk Bun diterapkan kepada pemain-pemain mereka.
“Pemain-pemain ini akan dipersiapkan untuk Sukan Olimpik Remaja dan pihak Thailand mahu mereka dilatih oleh Datuk Bun untuk menjadi lebih matang dalam permainan, supaya mereka boleh memenangi Sukan Olimpik Remaja.
“Jadi dalam tempoh latihan di Nusa Mahsuri ini, pihak Thailand mahu Datuk Bun melihat siapa dalam kalangan pemain yang dibekalkan ini mempunyai prospek untuk bergelar juara,” jelas pengurus peribadinya, Nor Kamal Ahmad yang dihubungi Utusan Malaysia.
Sejak Misbun berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Ogos lalu, pengendali berusia 63 tahun itu masih belum membuat keputusan mengenai kariernya biarpun mendapat lima tawaran berbeza.
Justeru dengan tugasan baru bersama skuad remaja BAT, ia seakan-akan memberi gambaran bahawa Misbun sudah mempunyai perancangan tentang hala tujunya selepas ini.
“Berdasarkan pengamatan saya, jika Datuk Bun sudah mula turun ke gelanggang mengajar, bermakna dia sudah bersedia untuk membuat satu keputusan, menerima mana-mana tawaran yang sesuai dengannya.
“Mungkin dalam masa terdekat, dan pengumuman itu akan dibuat Datuk Bun sendiri, kita sama-sama tunggu,” tambah Kamal.-UTUSAN