PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kembali menyalakan harapan untuk mara ke separuh akhir selepas mengejutkan pasangan No. 2 dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dalam aksi kedua Kumpulan A pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, sebentar tadi.
Gandingan No. 8 dunia itu buat kali pertama melakar kemenangan ke atas pasangan No. 2 dunia dari Jepun tersebut dalam pertarungan yang berlangsung sengit 12-21, 21-16, 21-16.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei merapatkan jurang rekod pertemuan ke atas Watanabe-Higashino kepada 1-2.
Esok, beregu muda negara itu bakal berdepan pasangan Thailand yang menghuni ranking No. 5 dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai untuk aksi terakhir Kumpulan A.
Jika berhajat mara ke separuh akhir, Tang Jie-Ee Wei perlu menundukkan Dechapol-Sapsiree, esok, dan tugas itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana mereka pernah menewaskan beregu handalan dari negara tetangga tersebut.
Tang Jie ketika ditemu bual BWF berkata, bukan mudah untuk dia dan Ee Wei berdepan pasangan Jepun itu.
“Kami belum pernah menewaskan mereka, ini kali pertama kami berjaya berbuat demikian.
“Kami bermain baik, mujur kami berjaya mendapatkan rentak permainan kerana untuk berdepan Watanabe-Higashino, kami tak boleh hilang fokus,” katanya.
Menurut Tang Jie, permainan pantas yang dimiliki beregu Jepun itu telah menyebabkan dia terburu-buru sehingga kehilangan banyak mata pada set pertama.
“Apabila banyak sangat kesilapan yang saya lakukan, saya mula fikirkan pasangan saya, dia percaya kepada saya, jadi, kalau boleh saya tak mahu kecewakan dia,” ujarnya.
Ee Wei pula memberitahu, kekalahan dalam aksi pembukaan banyak menjejaskan semangatnya untuk terus berjuang.
Jelasnya, dia masuk ke gelanggang, hari ini, tanpa terlalu banyak berfikir dan hanya fokus untuk bermain.
“Saya gembira kami berjaya meraih kemenangan dan ini kejayaan pertama kami ke atas beregu Jepun itu.
“Saya sedar ramai yang meletakkan harapan kepada kami khususnya rakyat Malaysia, jadi, kami berusaha keras untuk mengatasi tekanan,” tambahnya.
Ketika ditanya tentang kecederaan yang dialami sehingga memaksanya mendapatkan rawatan di tepi gelanggang, pemain berusia 23 tahun itu berkata, bahunya sedikit terseliuh, tetapi ia tidak serius. – UTUSAN