PETALING JAYA: Dengan status pasukan yang mula dipandang oleh lawan yang berkedudukan lebih tinggi, Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk mencari seteru baharu dalam aksi persahabatan di peringkat antarabangsa.
Sehari selepas Arab Saudi membatalkan perlawanan persahabatan dengan anak-anak buah Kim Pan Gon, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu ‘pening kepala’ untuk mencari pesaing lain kerana Syria sudah menyenaraikan Malaysia sebagai lawan.
Harimau Malaya akan mengharungi aksi pemanas badan dengan pasukan di ranking ke-91 dunia, Syria dan perkembangan itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Syria di laman sosial miliknya dengan perlawanan dijadualkan pada 8 Januari depan.
“Pengurusan pasukan kebangsaan mengesahkan dua perlawanan persahabatan dengan Kyrgyzstan (5 Januari) dan Malaysia (8 Januari) dalam persiapan untuk Piala Asia 2023 di Qatar,” jelas Persatuan Bolasepak Syria.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan aksi persahabatan dengan Arab Saudi yang sepatutnya berlangsung pada 4 Januari depan terpaksa dibatalkan atas permintaan ketua jurulatih Arab Saudi, Roberto Mancini.
“Arab Saudi memaklumkan kepada FAM bahawa perlawanan ini tidak dapat diteruskan kerana Mancini membuat congakan bahawa pasukan kendaliannya itu berkemungkinan bertemu Malaysia di seawal pusingan 16 terbaik (Piala Asia),” kata Noor Azman.
Untuk rekod, Harimau Malaya pernah menentang Syria beberapa kali sebelum ini dengan pertembungan terbaharu dalam aksi persahabatan di China pada September lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Harimau Malaya yang kini menduduki ranking ke-130 dunia dijangka memulakan kem latihan pusat pada minggu hadapan sebagai persiapan menjelang pusingan akhir Piala Asia 2023.
Skuad kendalian Pan Gon yang layak secara merit ke kejohanan tertinggi Asia itu buat kali pertama selepas 43 tahun diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.
Malaysia dijadual menentang Jordan pada 16 Januari depan sebelum berdepan Bahrain (20 Januari) dan aksi terakhir kumpulan bertemu Korea Selatan (25 Januari). – UTUSAN