PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido mengakui pasukannya masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki biarpun melakar kemenangan 1-0 ke atas China, kelmarin.
Pada perlawanan Antarabangsa Tier 2 di Stadium Jinshan, Shanghai itu, jaringan tunggal dalam masa kecederaan oleh Harith Haikal Adam Afkar cukup memberikan kelegaan yang sebelum itu bergelut memburu gol di babak pertama.
Untuk rekod, kemenangan itu mata bermakna kerana ia merupakan kemenangan pertama skuad B-23 ke atas China B-23 dalam 17 pertemuan sebelum ini dengan kedua-dua pasukan bertemu buat kali pertama pada 1991.
“Saya gembira secara keseluruhan. Kami sentiasa mencari aspek yang boleh diperbaiki, cuba menyesuaikan gaya permainan dan menjaringkan gol. Saya fikir prestasi pemain memuaskan. Seperti yang kami katakan, ia adalah ujian yang baik buat permulaan.
“China adalah pasukan yang sangat bagus, tetapi banyak aspek kita perlu menambah baik,” katanya Garrido yang melakar kemenangan pertama sejak mengambil alih jawatan ketua jurulatih skuad B-23 pada Oktober lalu.
Sementara itu, kapten skuad B-23, Mukhairi Ajmal Mahadi percaya rakan-rakan sepasukan sudah mula menampakkan keserasian dengan taktikal jurulatih dan memperagakan aksi penuh bersemangat walaupun bermain dalam kondisi cuaca sejuk.
“Alhamdulillah, gol saat akhir sebab kali pertama kemenangan perlawanan persahabatan kita dekat sini. Saya harap semua pemain kekal dan fokuslah untuk pertembungan akan datang nanti.
“Saya rasa teknik, taktikal dah baik dan menjadi, cuma kita perlu sabarlah sikit dengan bola. Saya harap kita dapat menyesuaikan lagi dengan bola dan pada perlawanan akan datang kita buat yang lebih baik,” ujarnya.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi bagi perlawanan kedua di venue yang sama esok sebelum menghadapi kempen Piala Asia B-23 di Doha, Qatar pada April depan.
Saingan Piala Asia B-23 2024 dijadualkan berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei 2024 di beberapa lokasi utama saingan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Harimau Malaya B-23 diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut diundi dalam kumpulan sama.-UTUSAN