PETALING JAYA: Langkah pemain skuasy No. 1 Malaysia, S. Sivasangari disekat bintang No. 4 dunia, Nele Gilis pada suku akhir Terbuka Hong Kong di Pusat Skuasy Hong Kong, Hong Kong, hari ini.
Gilis dari Belgium, bagaimanapun, dipaksa beraksi selama hampir sejam sebelum beroleh kemenangan ke atas pemain No. 17 dunia itu 8-11, 6-11, 12-10, 9-11.
Sekalipun tewas, kemaraan Sivasangari sehingga ke suku akhir pada kejohanan bertaraf Platinum itu wajar diberi pujian selepas terpaksa mengharungi ujian besar pada pertengahan tahun lalu.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu ditimpa kemalangan yang hampir meragut nyawanya dan ekoran insiden tersebut Sivasangari terpaksa berehat panjang.
Pemain berusia 24 tahun itu bukan sahaja terlepas beraksi pada Sukan Komanwel di Birmingham, malah, rankingnya juga jatuh merudum.
Daripada kedudukan No. 16 dunia, Sivasangari terpelosok ke tangga ke-40 dunia.
Sejak kembali beraksi secara kompetitif pada awal tahun ini, Sivasangari tidak menoleh lagi ke belakang, peluang kedua yang dimiliki dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki prestasinya.
Bermula dengan kejayaannya merangkul gelaran pada Trofi Tuanku Muhriz, Ogos lalu, kemudian disusuli pingat emas pada Sukan Asia di Hangzhou, China dan minggu lalu, menjuarai Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong, kemaraan Sivasangari seperti sukat disekat.
Dia kini kembali berada dalam kelompok 20 terbaik dunia, usaha keras Sivasangari semakin menampakkan hasil dan dia hanya memerlukan sedikit masa lagi untuk menjadi pencabar sebenar jaguh handalan dunia.
Gilis turut mengakui dalam temu bual selepas perlawanan bahawa Sivasangari bukanlah calang-calang lawan.
“Siva seorang lawan yang sangat berbahaya dan saya gembira berjaya mencari jalan untuk mencatat kemenangan,” katanya.
Malah, pemain Belgium itu turut mengakui mendapat bantuan daripada Sarah-Jane Perry, pemain England yang disingkirkan Sivasangari pada Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong. – UTUSAN