Sasaran Fandi Ahmad tercapai, Sri Pahang raih tempat kelima

Sasaran Fandi Ahmad tercapai, Sri Pahang raih tempat kelima

AKSI terakhir Sri Pahang dalam saingan Liga Super musim ini berdepan KL City yang berkesudahan tanpa jaringan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur semalam.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad tetap berpuas hati dengan prestasi pasukannya musim ini walaupun menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima.

Penamat di kedudukan kelima liga yang diraih Tok Gajah telah mencapai sasaran peribadi yang diletakkan pengendali dari Singapura itu meskipun pihak pengurusan mahukan tempat ketiga.

“Saya puas hati kita dapat kedudukan yang kita inginkan iaitu nombor lima musim ini yang mana ada peningkatan dari tahun lalu dan harap tahun hadapan akan lebih baik.

“Objektif saya sendiri sasar nombor lima, tapi pengurusan atasan inginkan nombor tiga.

FANDI AHMAD

“Namun, musim ini kita kurang bernasib baik akibat masalah kecederaan apabila di awal musim sudah ada beberapa pemain yang cedera,” katanya dalam sidang media selepas terikat 0-0 dengan Kuala Lumpur(KL) City, kelmarin.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Cheras itu, kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan walaupun memiliki beberapa peluang mencipta gol.

Jelas Fandi, kegagalan anak buahnya menyudahkan peluang menjadi faktor mereka tidak mampu meraih tiga mata pada aksi terakhir liga.

“Walaupun dapat satu mata saya rasa puas, saya pasti KL City pun begitu juga kerana kedua-dua pasukan bermain menyerang. Kita banyak mensia-siakan peluang terutama di babak pertama, tetapi pertahanan bermain dengan baik,” ujarnya.

Sri Pahang mengumpul 45 mata keseluruhan menerusi 13 kemenangan, enam seri dan tewas tujuh kali dalam 26 perlawanan liga musim ini.

Sementara itu, ketua jurulatih KL City, Nenad Bacina berkata ketiadaan beberapa tonggak penting menjejaskan persembahan pasukannya dalam usaha meraih tiga mata pada aksi terakhir berdepan Sri Pahang.

“Ada beberapa pemain tidak boleh beraksi kerana dijangkiti Covid-19 dan demam, namun setiap bahagian mampu mengekalkan momentum daripada dibolosi lawan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya