PETALING JAYA: Beregu lelaki muda negara, Muhamad Haikal Nazri-Choon Hon Jian berpeluang untuk menambah satu lagi koleksi kejuaraan mereka apabila bakal turun beraksi dalam Kejohanan Badminton Masters Guwahati, Assam, India esok.
Haikal-Hon Jian mengharungi pengalaman yang menakjubkan minggu lalu diLucknow, India apabila menyingkirkan beberapa pemain ternama sebelum muncul juara Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2023.
Justeru Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu kedua-dua pemain ini tidak mudah berpuas hati dengan cuba untuk meneruskan kecemerlangan mereka dalam saingan di Assam memandangkan kejohanan ini bertaraf lebih rendah iaitu Super 100, tanpa kehadiran barisan pemain bintang dunia.
“Ia adalah satu peningkatan yang mendadak, daripada Cabaran Antarabangsa terus juara di kejohanan Super 300. Mereka jadi juara dengan menewaskan pasangan utama sejak dari pusingan kedua lagi, ini sesuatu yang positif.
“Namun, saya tidak mahu terlalu banyak memuji atau merasa puas dengan pencapaian mereka. Kalau kita sudah puas bermaksud kita sudah sampai kemuncaknya. Begitupun, saya gembira kerana beregu pelapis sudah boleh memberikan persaingan kepada pasangan utama kita.
“Saya harap mereka boleh kekal konsisten. Selepas jadi juara, orang pun sudah banyak puji dan letak harapan tinggi, di sinilah nanti yang akan menguji mereka.
“Sama ada mereka boleh kekal fokus dan berikan komitmen sepenuhnya. Saya harap mereka konsisten, bukan saja konsisten dari segi permainan tetapi juga dari aspek mereka berfikir dan cara mereka menjaga diri,” jelas Rexy yang ditemui di ABM Bukit Kiara hari ini.