PETALING JAYA : Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akhirnya tampil membuat permohonan maaf susulan kerosakan padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dalam satu kenyataan hari ini, PSM memohon maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan penganjur saingan Piala Malaysia 2023.
Selain itu, PSM turut memohon maaf kepada semua peminat sukan bola sepak negara terutamanya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) yang akan berentap di final Piala Malaysia, esok
“PSM mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.
“PSM komited melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan acara di Stadium Nasional pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, tular di media sosial tentang kerosakan padang SNBJ, sekali gus membangkitkan kemarahan peminat bola sepak tempatan kerana ia akan menjejaskan aksi final Piala Malaysia.
Situasi itu turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga penaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di SNBJ yang memuat naik gambar terkini padang di gelanggang berkenaan yang dilihat masih rosak selepas konsert Coldplay.- UTUSAN ONLINE