KUALA LUMPUR: Perancis meneruskan sensasi di pentas Piala Dunia Hoki Remaja 2023 apabila mengesahkan slot ke final selepas menumpaskan Sepanyol 3-1 di peringkat separuh akhir, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, anak-anak buah Matthias Dierckens berada didepan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Delemazure Brieuc.
Bagaimanapun, Sepanyol bangkit mengikat kedudukan pada minit ke-15 menerusi Bozal Aleix juga menerusi pukulan sudut penalti, keputusan 1-1 kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.
Bersambung babak kedua, Perancis kembali berada dihadapan 2-1 pada minit ke-33 selepas Branicki Stanislas bijak menggunakan peluang terhidang dengan jaringan padang.
Pada minit ke-42, Perancis berjaya memperolehi gol ketiga menerusi jaringan padang Haertelmeyer Louis, sekali gus mengesahkan kemenangan dan layak ke final.
Dalam aksi final Sabtu ini, Perancis akan berdepan Jerman yang menewas India 4-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung lebih awal.- UTUSAN