Perancis sebelah kaki ke suku akhir

Perancis sebelah kaki ke suku akhir

Perancis mengejutkan juara enam kali, Jerman 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan B pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023. (FOTO: UTUSAN MALAYSIA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perancis mencerahkan peluang untuk menempah slot ke suku akhir selepas mengejutkan juara enam kali, Jerman 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan B pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Dua gol kemenangan skuad bimbingan Matthias Dierckens itu diledakkan oleh Jules Verrier pada minit ke-10 (gol padang) dan ke-40 (penalti stroke).

Kemenangan tersebut menyaksikan Perancis kini mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan sekali gus menghuni kedudukan teratas Kumpulan B.

Dierckens dalam sidang media selepas perlawanan memuji persembahan yang dipamerkan para pemainnya yang mencatat satu kejayaan bersejarah menundukkan Jerman.

“Ini satu kemenangan bersejarah buat kami dan saya berharap para pemain dapat mengekalkan momentum dalam aksi terakhir menentang Afrika Selatan, Jumaat ini,” katanya.

Bagaimanapun, jurulatih itu berharap anak-anak buahnya berwaspada sewaktu bertemu Afrika Selatan yang mampu menjadi duri dalam daging kepada pasukannya.

Mengulas mengenai persembahan skuad bimbingannya menentang Jerman, Dierckens memuji aksi Verrier yang sentiasa menjadi tulang belakang pasukan ketika khidmatnya diperlukan.

Kekalahan Jerman di tangan Perancis menyaksikan anak-anak buah Rein van Eijk berada di tangga kedua setelah mengumpul tiga mata hasil daripada satu kemenangan ke atas Afrika Selatan 5-3, semalam.

Naib juara edisi dua tahun lalu itu kini tidak boleh lagi melakukan sebarang kesilapan dan wajib untuk memburu kemenangan dalam perlawanan ketiga menentang Mesir pada Jumaat, jika berhajat menghidupkan peluang ke suku akhir.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Afrika Selatan menundukkan Mesir 3-2 untuk mengutip tiga mata dan sekali gus, kembali menyalakan peluang memburu tempat ke suku akhir.

Sementara itu, untuk aksi pembukaan Kumpulan D, Belanda diikat Pakistan menerusi keputusan seri 3-3, manakala, Belgium membelasah New Zealand 4- 0. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya