Peranan Norza penting dalam RTG - Hannah

Peranan Norza penting dalam RTG – Hannah

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peranan yang dimainkan Tan Sri Mohammad Norza Zakaria dalam Jawatankuasa Road to Gold (RTG) sangat penting bagi kontinjen Malaysia dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024, khususnya dalam sukan badminton.

Itu merupakan punca utama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertimbangkan semula keputusan bagi melepaskan jawatannya dalam badan induk itu pada hujung bulan ini.

“Sebagai Presiden BAM, beliau (Norza) banyak memberikan input kepada Jawatankuasa RTG yang mana beliau juga adalah pengerusi bersama sebagai presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Sebab itu, melihat kepada keadaan sekarang dengan kita hanya ada beberapa bulan lagi sebelum Olimpik Paris, saya minta Tan Sri Norza pertimbangkan semula keputusan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Ragbi Sentuh Pink Blitz (PORTO) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, semalam.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, beliau tidak mempunyai niat untuk campur tangan dalam urusan dalaman BAM, tetapi berharap Norza dapat membuat pertimbangan sewajarnya.

“Saya tidak mahu dilihat campur tangan dalam hal ini, saya hanya minta beliau pertimbangkan. Semuanya tertakluk kepada jawatankuasa BAM sendiri untuk membuat keputusan, terpulang kepada mereka,” katanya.

Namun begitu, segala persoalan itu akan terjawab selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM yang bakal diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Norza sebelum ini memaklumkan dia sedia untuk mempertimbangkan semula keputusan yang sudah dibuat sebagai menghormati Hannah selain mengakui mereka membentuk kerjasama yang baik selaku pengerusi bersama Jawatankuasa RTG.

Terdahulu, Hannah menerusi hantaran di media sosialnya secara terbuka meminta Norza mempertimbangkan semula keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden BAM pada hujung tahun ini.

Jelasnya, Sukan Olimpik Paris 2024 hanya tinggal beberapa bulan lagi dan sukan badminton membentuk blok majoriti atlet dalam program RTG.

Pada Julai lalu, Norza mengumumkan untuk meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024, namun membuat kejutan pada Ogos apabila mengumumkan untuk berundur pada hujung tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya