PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan mahu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi penjelasan tentang pemilihan pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia 2023, S. Logeswaran.
Ini selepas Logeswaran didakwa gagal menjalankan tugasnya dengan baik ketika aksi final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC yang berpihak kepada skuad Harimau Selatan 3-1, kelmarin.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia di laman sosial, rata-rata peminat tidak berpuas hati dengan keputusan Logeswaran khususnya ketika dia menghadiahkan sepakan penalti pertama kepada JDT ketika Fernando Forestieri didakwa ‘berlakon’ dengan menjatuhkan badan.
“Apa kriteria pemilihan pengadil untuk aksi final, Malaysia masih ada beberapa nama (pengadil) nama lain yang layak untuk mengadili perlawanan besar. Kenapa mereka tidak diberikan tanggungjawab ini, pengadil sedia ada jelas tidak konsisten.
“Peminat mahu tengok permainan berkualiti namun, prestasi pengadil mengecewakan, Jordi Amat sepatutnya sudah dilayangkan kad merah susulan kekasaran yang dilakukan, dia pertahanan terakhir ketika menjatuhkan Ivan Mamut.
“Harap ada penjelasan mengenai pemilihan pengadil ini, kita mahu permainan berkualiti. Maka, pengadil yang bertugas juga perlu berkualiti dan tidak berat sebelah,” kata Helmy Huzairi dalam satu ruangan komen hantaran Facebook sebuah portal tempatan.
Untuk rekod, terdapat laporan yang melaporkan semakan Senarai Pengadil Antarabangsa FIFA 2023 di laman sesawang digitalhub.fifa.com mendapati nama Logeswaran tidak berada dalam senarai pengadil badan induk bola sepak dunia itu.
Senarai nama terbabit hanya meletakkan enam pengadil FIFA dari Malaysia selain sembilan pembantu pengadil, empat pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai.
Enam pengadil FIFA terbabit adalah Razlan Joffri Ali, Muhammad Usaid Jamal, Muhammad Nazmi Nasaruddin, Suhaizi Shukri, Tuan Mohd. Yaasin Tuan Mohd. Hanafiah dan Mohd. Amirul Izwan Yaacob.
Terdahulu, persembahan Logeswaran dikritik hebat peminat pada aksi final Piala Malaysia selepas didakwa agak berat sebelah khususnya membabitkan sepakan penalti dihadiahkan kepada JDT dan TFC.
Ini selepas Logeswaran didakwa memberikan penalti yang ‘lembut’ dan tidak menunggu masa yang lama untuk memberikan penalti kepada JDT susulan kekasaran Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri
Namun ‘layanan berbeza’ diberikan kepada TFC apabila Ivan Mamut dijatuhkan Jordi Amat apabila Logeswaran pada mulanya tidak memberikan sepakan penalti namun pembantu pengadil, Muhammad Farhan Abdul Aziz mengangkat bendera untuk mengesahkan ia adalah penalti.
Malah, Logeswaran tidak melayangkan kad merah kepada Jordi selepas pertahanan JDT itu menghalang Mamut daripada menjaringkan gol selain beberapa kekasaran yang dilakukan kapten JDT itu selepas insiden berkenaan. – UTUSAN