PETALING JAYA: Pelumba motosikal negara, Khairul Idham Pawi bakal berdepan saingan tiga penjuru menjelang perlumbaan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Buriram, Thailand hujung minggu ini.
Khairul yang beraksi bersama pasukan Boon Siew Honda Racing kini sedang memimpin kedudukan keseluruhan kategori Super Sport (SS) 600 dengan 163 mata.
Bagaimanapun dia dijangka akan diasak hebat oleh pelumba tuan rumah, Nakarin Atiratphuvapat yang beraksi dengan pasukan Honda Racing Thailand yang kini mengekori rapat di tangga kedua dengan 156 mata, berkongsi pungutan mata dengan pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto dari pasukan Yamaha Gen Blue Racing Asean.
Justeru Khairul yang mesra disapa Superkip mengharapkan dia mampu menjelmakan keputusan sama ketika pusingan pertama di Litar Buriram pada Mac lalu apabila dua kali menaiki podium.
“Perlumbaan kali ini akan menjadi lebih mencabar, mata perebutan kejuaraan pula amat rapat antara setiap pelumba, justeru tekanan akan menjadi lebih tinggi untuk perlumbaan kali ini. Tetapi, semua pelumba akan merasai debaran yang sama, dan kami semua di sini mahu memberikan aksi yang terbaik.
“Di Zhuhai, saya telah melakukan kesilapan dan ia telah memberi kesan yang amat buruk untuk kedudukan saya. Saya rasa Chip akan menjadi pencabar yang paling kuat untuk perlumbaan terakhir ini, kerana dia beraksi di laman sendiri.
“Saya akan cuba untuk mencabar gelaran juara pada hujung minggu ini, ini bukan sahaja misi saya, tetapi misi satu pasukan. Saya tidak akan memberikan diri saya tekanan berlebihan, tetapi saya akan cuba memberikan tumpuan seratus peratus ketika hari perlumbaan,” jelas Khairul.
Sementara itu, saingan juga turut sengit dalam kelas perdana, Asia Superbike (ASB) 1000, membabitkan bekas juara, Muhammad Zaqhwan Zaidi dari Honda Asia Dream Racing yang ketika ini sedang menghambat pendahulu keseluruhan, Markus Reiterberger dari pasukan Onexox BMW TKKR.
Reiterberger kini memimpin carta pendahulu dengan mengutip 205.5 mata, hanya dipisahkan 50 mata sahaja dengan Zaqhwan. – UTUSAN