PETALING JAYA: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyeru kepada bekas atlet bintang negara untuk tidak berasa segan menyertai badan induk itu sebagai langkah bagi mencapai jumlah 4,000 orang pada 2024.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menjelaskan kelompok bekas atlet bintang ini tidak perlu berasa segan kerana Yakeb bukanlah badan memberikan bantuan kepada bekas atlet semata-mata.
Sebaliknya kehadiran bekas atlet bintang ke dalam Yakeb mampu menjadi nilai tambah kepada badan induk itu, serta menaikkan lagi semangat ahli sedia ada dengan berkongsi ilmu khususnya membabitkan karier selepas bergelar atlet kebangsaan.
“Bekas atlet elit yang pernah juara dunia, memenangi gelaran di seluruh dunia seakan segan nak sertai Yakeb, mungkin mereka fikir jika sertai Yakeb seakan-akan meminta pertolongan dan mereka tidak perlukan bentuk sedemikian.
“Kita sudah mendekati (Datuk Lee) Chong Wei, (Datuk) Nicol David, kami tidak boleh buat apa-apa jika mereka tidak mahu berdaftar, tak boleh salahkan mereka juga,”
“Kerana bila atlet yang ada nama besar ini menyertai, akan memotivasikan bekas-bekas atlet lain untuk sertai Yakeb dengan berkongsi pengalaman mereka,” jelas Noorul ketika ditemui media di Bukit Kiara.
Chong Wei yang pernah memenangi tiga pingat perak di tiga Sukan Olimpik yang berbeza menggantung raket pada Jun 2019, dan enam bulan kemudian, Nicol yang juga juara dunia skuasy lapan kali mengikut jejak Chong Wei mengumumkan persaraannya di usia 35 tahun.
Ketika ini, Yakeb mempunyai 3,017 orang ahli, dan Noorul mahu jumlah itu tersebut terus meningkat menjelang hujung tahun 2024.