PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sudah mencongak kalendar 2024 dalam mengatur perjalanan mereka untuk layak buat julung kalinya ke Sukan Olimpik Paris.
Berdasarkan kedudukan terkini ranking Olimpik Paris, Ee Yi dan Yew Sin di tangga ke 11, dan mereka perlu mendaki tiga lagi anak tangga, atau dalam erti kata lain meraih lebih 20,000 mata untuk berada dalam kelompok lapan terbaik bagi mengiringi Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang dilihat selesa ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Atas kertas, mereka mempunyai empat bulan sahaja lagi untuk cuba merealisasikan impian itu sebelum tarikh tutup kelayakan ke Sukan Olimpik Paris tamat pada 28 April depan.
Justeru Ee Yi dan Yew Sin berharap mereka mampu mara sekurang-kurangnya suku akhir ataupun separuh akhir di badminton Terbuka Malaysia pada 9 Januari depan bagi mencerahkan peluang ke Paris.
“Saya amat berharap sangat kami ada permulaan yang baik di Terbuka Malaysia, kerana dalam acara beregu lelaki, semuanya sama kerana sangat sengit, tiada siapa boleh katakan pemain itu atau ini akan tentu menang, sekalipun dia beregu No. 1 Dunia, semuanya bergantung kepada prestasi hari perlawanan,” kata Yew Sin yang ditemui Utusan Malaysia ketika sesi latihan skuad profesional di Sri Petaling, Bukit Jalil.
Ee Yi dan Yew Sin akan memulakan kempen Terbuka Malaysia menentang pasangan No. 23 dunia, Yang Po Han-Lu Ching Yao dari Taiwan di pusingan pertama.
Selain Terbuka Malaysia, pasangan profesional ini juga telah mengesahkan penyertaan di Terbuka India (16 hingga 21 Januari) dan Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari), manakala penyertaan di Masters Thailand (30 Januari hingga 4 Februari) pula akan bergantung kepada prestasi mereka di tiga kejohanan utama sebelum itu.
“Tiga kejohanan ini amat penting kerana mata ranking yang ditawarkan adalah banyak, kalau dapat keputusan yang baik, mungkin dari situ kami boleh pilih kejohanan.
“Kalau kami pergi kejohanan kecil dan jadi juara sekalipun, kutipan mata tidak banyak. Kami memang mahu layak ke Sukan Olimpik, sebab ini adalah salah satu impian yang dimahukan mana-mana atlet,” tambah Yew Sin.
Kali terakhir dua beregu lelaki Malaysia layak beraksi di temasya itu adalah ketika edisi 2008 Beijing menerusi Boon Heong dan pasangannya, Koo Kien Keat serta Choong Tan Fook-Lee Wan Wah. – UTUSAN