PETALING JAYA: Peminat ragbi tempatan terpaksa menanti lebih lama untuk melihat impian stadium ragbi negara dibina selepas projek yang digembar-gemburkan sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.
Mantan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU), Datuk Shahrul Zaman Yahya akui terkilan agenda itu tidak dapat direalisasikan sepanjang dua penggal dia menerajui badan induk itu.
Projek pembinaan stadium ragbi negara pernah dibentangkan dalam Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) pada 2009, namun projek yang sepatutnya dimulakan di Kota Kinabalu, Sabah yang bernilai RM35 juta itu bertukar menjadi projek gajah putih.
Idea penubuhan stadium kembali bertiup kencang selepas skuad ragbi negara muncul Divisyen 1 Kejohanan Ragbi Asia 2016 dan memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur setahun kemudian.
Pada 2019, Presint 13, Putrajaya dipilih sebagai lokasi pembinaan stadium ragbi negara yang baharu yang berharga RM17 juta.
Stadium itu sepatutnya menjadi sebahagian daripada pembangunan ‘Sultan Ahmad Shah Soccer City’ yang sepatutnya siap menjelang suku ketiga 2022.
Justeru, ia bakal menjadi cabaran buat kepimpinan baru MRU yang diterajui Amir Amri Mohamad yang baru sahaja memenangi pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan MRU kelmarin untuk memastikan status pembinaan stadium ragbi yang tergendala sebelum ini dapat diteruskan semula.
“Saya berharap pengurusan baru MRU akan dapat meneruskan usaha bagi mendapatkan stadium ragbi negara yang kita telah dapat sebenarnya, tetapi disebabkan masalah tanah yang diberikan Putrajaya Corporation, kita tidak dapat meneruskan projek tersebut dan bajet telah pun ditarik balik walaupun tender telah dikeluarkan.
“Saya sendiri memegang jawatan ini selama tujuh, malahan zaman sebelum itu ketika Datuk Wira Amiruddin (Embi) pun sudah ada usaha untuk menubuhkan stadium ini, jadi memang sudah lama menantikannya,” kata Shahrul.
Dalam masa yang sama, Shahrul juga minta barisan exco baharu MRU dapat merangka pelan yang lebih ideal dan realisitik untuk perkembangan skuad ragbi negara
MRU dibawah kepimpinan Shahrul sebelum ini pernah melaungkan harapan untuk layak ke Piala Dunia Ragbi 2031, namun sehingga kini masih bergelut untuk bersaing dengan Korea Selatan dan Hong Kong dalam saingan Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC)
“Kita terganggu dengan wabak covid yang melanda negara untuk tempoh dua tahun sebelum ini, tetapi saya berharap pengurusan baharu (MRU) akan dapat melihat sasaran yang logik untuk layak ke Piala Dunia, tetapi akhirnya saya tetap berharap kita akan dapat ke sana suatu hari nanti,” tambah Shahrul. – UTUSAN