Malaysia mendahului Chile 2-0

Malaysia mendahului Chile 2-0

MUHAMMAD Danish Aiman Khairil Anuar menjaringkan gol kedua skuad negara dalam aksi menentang Chile pada Hoki Piala Dunia Remaja 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mendahului 2-0 selepas selesai dua suku pertama dalam aksi pembukaan Kumpulan A menentang Chile pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, sebentar tadi.

Penyerang, Muhammad Harris Iskandar Osman meletakkan Malaysia mendahului Chile 1-0 pada minit ke-13 hasil jaringan padang.

Sebelum Harris meledakkan gol pembukaan, peluang terbaik skuad negara diperoleh seawal minit ke-9 menerusi Shahmie Irfan Suhaimi, namun, malangnya pemain itu mempersia-siakan peluang yang terhidang di depan pintu gol Chile yang dikawal ketat Julian Villanueva.

Selepas itu, skuad negara yang melipat ganda asakan memperoleh tiga pukulan sudut penalti, namun, peluang tersebut gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Keputusan kekal Malaysia mendahului 1-0 sehingga wisel penamat suku pertama dibunyikan oleh pengadil perlawanan.

Perlawanan yang disambung semula pada suku kedua, skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu terus beraksi lebih agresif dengan mengasak ke kubu pasukan lawan.

Usaha keras mereka akhirnya berhasil apabila pemain tengah, Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar menyumbang gol kedua Malaysia pada minit ke-23.

Berdasarkan rekod pertemuan, Malaysia memegang rekod 100 peratus ke atas Chile apabila menang kesemua tiga pertemuan sebelum ini.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Chile ialah pada Piala Dunia Remaja 2021 di Bhubaheswar, India setelah skuad negara melakar kemenangan 2-1.

Pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Dunia ialah menghuni kedudukan keempat yang pernah dilakar pada tahun 1979, 1982 dan 2013.

Perlawanan pembukaan tersebut turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN