SEPANG: Penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsuddin memberi bayangan akan bertukar angin dengan menyertai kelab lain secara pinjaman pada bulan depan.
Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu tidak menyatakan destinasi terbarunya dan masih lagi memikirkan perkara berkenaan sebelum membuat pengumuman kelak.
“Setakat ini memang saya bersama KV Kortrijk tetapi dalam bukan Januari nanti InsyaAllah mungkin ada perubahan.
“Saya tengah fikirkan lagi sebelum buat keputusan, tetapi saya masih ada semusim lagi kontrak bersama KV Kortrijk, jadi jika saya berpindah pun ia sebagai pemain pinjaman,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Shanghai, China, semalam.
Skuad muda negara itu dijadualkan mengharungi dua perlawanan antarabangsa Tier 2 di Shanghai menentang China B-23 pada 23 dan 26 Disember ini, bagi persiapan untuk mengharungi Piala Asia B-23 April tahun depan.
Pemain berasal dari Kota Baharu, Kelantan itu mengakui lebih tenang dengan keadaan sekarang apabila tumpuan terhadap dirinya tidak begitu banyak.
“Memang diakui saya lebih suka seperti ini, lebih rileks tiada tumpuan sangat. Sebelum ini memang agak tertekan tetapi itu semua lumrah bola sepak, cuma keadaan sekarang lebih tenang untuk saya,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai skuad B-23 negara ketika ini, Luqman berpendapat pasukan ini lebih kuat dengan kehadiran pemain-pemain yang beraksi di luar negara seperti Richard Chin dan Kobe Jae Chong.
Kehadiran mereka memberi kelebihan buat skuad B-23 negara menjelang Piala Asia B-23 April depan. – UTUSAN